Kecoh di media sosial sejak semalam apabila ada yang mendakwa telefon pintar daripada sebuah syarikat terbakar selepas digunakan tidak sampai sebulan.

Biarpun tidak pasti sama ada ia benar atau tidak, ia telah mencetuskan kembimbangan ramai apabila jenama peranti itu semakin banyak diguna pakai untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Terbaru, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad, tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan berkenaan.

Menurutnya, daripada 100,000 yang sudah diedar ke seluruh negara, hanya satu yang mungkin terbakar.

“Takkan itu kita hendak jadikan ia sebagai satu punca untuk kita membuat siasatan," katanya menerusi Harian Metro.

Menurut Saarani, pihaknya pada masa mengalu-mengalukan syarikat lain yang mahu bekerjasama untuk menghulurkan sumbangan bagi kemudahan pelajar mengikuti PdPR.

"Saya sangat-sangat berterima kasih dan mengalu-mengalukan mana-mana lagi syarikat yang hendak memberi sumbangan percuma kepada kerajaan negeri, khususnya kepada orang miskin dalam apa jua bentuk bantuan untuk tujuan pembelajaran," katanya.

Terdahulu, kerajaan Perak mengakui mengedarkan 20,000 telefon pintar kepada pelajar daripada keluarga B40 bagi program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) dikhususkan untuk pembelajaran semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, perkara itu setidak-tidaknya dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan peranti terbabit bagi tujuan seperti bermain permainan video.

Kenyataan itu kemudian mencetuskan rungutan sesetengah netizen yang mandakwa ia sebagai satu ‘penghinaan’ buat golongan B40.

BACA: “Orang Bagi Sardin, Sardinlah Kita Makan, Takkan Minta Ayam Pula” - Menteri Perak Bidas Rungutan Sumbangan Telefon Pintar!