Hiburan
"Vokal Saya, Lagu-Lagu 'Leman'" - Siti Nordiana
Juara Gegar Vaganza 2, Siti Nordiana mengakui rezekinya tidak putus selepas tamat program realiti nyanyian tersebut.
Selepas keluar dengan single Terus Mencintai, nama Siti Nordiana atau popular disapa Nana kian menjadi sebutan dan irama lagu itu juga menjadi siulan ramai.
Mengulas mengenai perkara tersebut kata Nana dia perlu cerewet dalam memilih lagu dan yakin vokalnya sesuai untuk lagu bersifat 'leman' (tangkap leleh).
"Tak boleh dinafikan pendengar di bandar atau luar bandar lebih gemarkan saya menyanyi lagu-lagu bersifat tangkap leleh sebab lagu sedemikian mudah melekat dan kena dengan jiwa semua orang terutama orang Melayu.
"Kelebihan vokal saya pun lebih terarah kepada genre sedemikian, kalau nyanyi lagu urban atau moden saya rasa itu bukan saya.
"Walaupun muzik berbeza, melodi nyanyian saya perlu ada rintihan.
"Apapun, saya menjadi diri sendiri namun masih mengikut peredaran zaman," katanya kepada Astro Gempak.
Dalam perkembangan lain, Nana bakal muncul dengan single terbaharu pada tahun depan namun proses itu masih dalam perbincangan dengan komposer pilihannya.
"Setiap tahun saya mesti keluarkan single dan saya sedikit cerewet untuk memilih lagu selepas ini kerana penangan lagu Terus Mencintai yang cukup kuat," katanya.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: Blackpepper Production, IG @sitinordiana
Must-Watch Video