Pemenang tempat kedua Asia’s Got Talent, Yaashwin atau lebih dikenali dengan gelaran ‘The Human Calculator’ telah berjaya menempah namanya ke senarai peserta 10 teratas bagi musim kedua Ceria Megastar.

Selain Yaashwin, antara peserta lain yang turut mara ke pentas utama adalah Caspian (bakat lompat tali), Group 17 (bakat lakonan), Nana dan Adinda (bakat nyanyian), Ija dan Kowachee (bakat tarian), Haiqal (bakat silap mata), Amira (bakat bermain dram), dan VC (bakat tarian dan nyanyian).

‘Konsert Penentuan 2 Ceria Megastar 2020’ penuh dengan pelbagai persembahan menakjubkan yang berjaya membuat juri tetap Zizan Razak dan Ernie Zakri terpegun serta juri jemputan Shuib Sepahtu hilang kata-kata.

Malah, persembahan kumpulan Kalyssa yang tampil dengan sebuah tribute buat pelawak Allahyarham Abam Bocey meruntun hati penonton.

Pelawak Achey yang turut hadir menyaksikan konsert penentuan kedua ini turut tersentak menyaksikan persembahan tribute kumpulan Kalyssa.

Drama di konsert kedua tidak berakhir di situ apabila Group 17 menampilkan persembahan penuh dengan mesej kekeluargaan dan pengorbanan seorang abang untuk menjaga adiknya yang kelainan upaya.

Bukan sahaja Ernie Zakri yang terkesan dengan lakonan itu malah penonton di studio Visual Three, Seri Kembangan juga bergenang mata dengan bakat luat biasa dua beradik itu.

Saksikan Konsert Ceria Megastar 2020 yang akan bersiaran secara langsung pada Sabtu, 14 Mac 2020, jam 9.00 malam menerusi saluran Astro Ceria dan Ceria HD, bersama hos, Raja Azura.

Program realiti yang mencari bakat terunggul dalam kalangan terbaik ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.