Isteri kepada pelakon Harris Annuar, Asha Merican dilaporkan selamat melahirkan seorang bayi perempuan pada Ahad, kira-kira jam 11.51 malam di sebuah hospital swasta di Perak.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Harris sendiri menerusi kemaskini terbaharu di laman Instagramnya pada petang Isnin.

Pada perkongsian sama, aktor berusia 29 itu meluahkan rasa syukur atas kelahiran zuriat yang dinantikan selama ini.

“11.15 PM, 26/3/2023 bersamaan 5 Ramadan. Alhamdulillah, Ya Allah.

“Assalamualaikum wahai anakku Aura Medina binti Mohd Harris, 2.76kg” tulisnya pada kapsyen.

A post shared by BANGKITBOTAK (@harrisannuar)

Dalam pada itu, bekas peserta Hero Remaja 2017/18 itu sempat berseloroh dengan menggelarkan bayi sulungnya itu ‘baby lato-lato’ memandangkan isterinya sebelum ini pernah mengidam untuk bermain permainan tersebut sewaktu sedang hamil.

“Baby lato-lato Asha Merican”, selorohnya.

Sementara itu, ruangan balas perkongsian berkenaan dihujani dengan ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan kalangan peminat.

Selain lato-lato, Asha yang juga seorang aktres pernah mengidam untuk menghidu simen dan makan sabun sehingga tular dan menjadi bualan ramai.

Imbas kembali, Harris dan Asha selamat bergelar suami isteri pada 12 Jun 2022 selepas empat tahun mereka menjalin hubungan cinta.