Industri filem tempatan masih berdepan ketandusan penggiat seni yang mempunyai kelulusan akademik untuk bekerja dalam bidang seni yang berkaitan.

Malah, akibat tiada kelulusan sama ada di peringkat sijil, diploma mahupun ijazah menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan di tahap profesional seperti mana syarat yang diguna pakai di Pinewood Studio sebelum ini.

Penasihat Akademik, Kuala Lumpur Film School (KLFS), Dr Khairulfazi Saari berkata, masalah ini berlaku kerana sikap segelintir penggiat seni yang sukar menimba ilmu secara akademik atas faktor komitmen terhadap kerja.

"Sebenarnya, ia adalah masalah yang menjadi budaya kita sendiri yang sepatutnya jadi 'wake-up call' apabila Pinewood Iskandar Malaysia Studios nak ambil pekerja tapi tiada yang memenuhi standard yang mereka mahukan," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, penggiat seni disaran agar terus menimba ilmu secara akademik.

"Jangan salah anggap, bukan mereka ini tiada ilmu tapi masalahnya tidak teratur. Ada yang bermula dari peringkat bawah kemudian naik di mana ilmu itu diambil berdasarkan pengalaman kerja," katanya.

"Bagi saya, yang penting ilmu dan sijil nombor dua tapi kalau ada lagi bagus. Namun, adanya pengalaman kerja ia juga boleh membantu mereka dipanggil temuduga dan mungkin lepas untuk dapat kerja," katanya.

Sebagai satu jalan penyelesaian, KLFS diwujudkan sebagai platform membantu penggiat seni melanjutkan pengajian secara akademik.

"Fokus di KLFS adalah menjalankan program di bawah Kementerian Sumber Manusia menerusi sijil kemahiran dan akan menawarkan Diploma Kemahiran Malaysia yang dijangka bermula selepas Aidilfitri nanti," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Facebook - Pinewood Iskandar Malaysia Studios & Kuala Lumpur Film School