Walaupun Tinggal Serumah, Ruhainies Akui Susah Nak Berjumpa Dengan Risteena

Kamaruddin Razal
April 12, 2018 10:00 MYT
Pelakon drama bersiri Tak Ada Cinta Sepertimu, Ruhainies, 26, mengakui dirinya sukar untuk bertemu dengan kakaknya, aktres Nur Risteena, 29, biarpun tinggal serumah.
Pemilik nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini jarang berbual dengan kakaknya kerana jadual kerja yang padat.
"Kami tinggal serumah tetapi apa yang pelik, kami jarang bertemu. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Jika saya pulang ke rumah, Risteena sudah tidur.
"Apabila saya bangun tidur, dia sudah ke set penggambaran. Berbual dengan Risteena pun jarang-jarang sebab susah nak berselisih di rumah. Kadang-kadang kami hanya berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp sahaja," kata Ruhainies.
Mengakui masih ada pihak yang sering membandingkan mereka, Ruhainies dan Risteena mengambil perkara tersebut sebagai satu dorongan.
"Perbandingan itu biasa kerana kami adik beradik. Berada dalam industri yang sama, perkara tersebut tak boleh kami elak.
"Apa yang boleh kami lakukan, saya dan Risteena jadikan ia sebagai satu dorongan. Kami bersaing dengan sihat dalam industri yang sama dan saling memberi motivasi sesama sendiri untuk lebih berjaya," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran butik barangan kemas Tous di IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.
Jenama barang kemas yang berasal dari Sepanyol ini membuka cawangan ketiga di IOI City Mall Putrajaya selepas mempunyai dua cawangan di Pavilion KL dan Sogo.
Selain Ruhainies, selebriti lain yang menghadirkan diri di majlis pelancaran butik Tous adalah Anzalna Nasir dan Zahirah Macwilson.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#pelakon #Ruhainies #Pelakon