Impian sebuah keluarga berasal dari Jawa Tengah, Indonesia yang mahu menunaikan ibadah haji terpaksa dilupakan apabila wang hasil tabungan mereka dimakan anai-anai.

Lebih menyedihkan, wang simpanan berjumlah 50 juta rupiah (RM15,181) tersebut lebur sekelip mata selepas lebih dua tahun mereka menabung.

Menurut laporan Tribunnews, kisah Samin yang berkerja sebagai pengawal keselamatan sekolah itu mula tular di media sosial dan meraih simpati ramai pihak.

Terkejut Duit Di Makan Anai-Anai

Sanim berkata, dia pada mulanya mahu memeriksa kesemua duit yang disimpan di dalam tabung plastik di rumah, namun berasa terkejut apabila hampir separuh wang kertas yang dikumpul bersama isteri dan dua anaknya sudah rosak.

“Habis semua wang kertas menjadi kepingan kecil disebabkan dimakan anai-anai,” katanya.

Jelas Samin, tujuan dia membiarkan tabung simpanan tersebut berada dalam rumahnya kerana tidak mahu berulang-alik ke bank.

Hasil Menabung Cecah RM30,000

“Saya tidak terfikir wang di dalam tabung akan rosak sebab simpan dalam bekas plastik dan biarkan ia penuh dahulu baru periksa.

“Kami sekeluarga tak putus-putus menyimpan sekurang-kurangnya 100,000 rupiah (RM30) atau 50,000 rupiah (RM15) setiap hari, namun lain pula yang jadi,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Samin masih bersyukur apabila sebahagian wang simpanan masih boleh diselamatkan daripada jumlah keseluruhan wang tersebut yang mencecah lebih 100 juta rupiah (RM30,363).


Terima Hikmah Dapat Tunai Umrah

Selepas tular kisah malang keluarga itu, difahamkan mereka telah menerima tawaran untuk menunaikan ibadah haji dan umrah secara percuma.

Kata Sanim, dia menerima hampir 10 tawaran untuk menunaikan haji dan umrah daripada individu yang prihatin terhadap nasib keluarganya itu.

Biarpun diberikan tawaran sedemikian, Sanim akui dirinya masih bersedih dan belum membuat keputusan sama ada mahu menerima peluang tersebut atau sebaliknya.

“Alhamdulillah ramai yang mahu bantu, tapi saya mahu menenangkan fikiran dahulu. Saya bimbang akan timbul masalah lain,” katanya.

Kejadian malang tersebut turut menerima reaksi Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka.

Kata pemimpin berkenaan, beliau menasihatkan penduduk supaya mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dan bertindak bijak dengan menyimpan wang di bank.

Sumber – Sinarplus.Sinarhatrian, Tribunnews

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!