Viral

Wanita Berjaya Selamatkan Anjing Kena 'Tinju', Namakan Kitster - "Buat Masa Sekarang Biarlah Ia Berehat"

gempak
Amri Hassan
02/07/2024
20:53 MYT
Sponsor Banner
Wanita Berjaya Selamatkan Anjing Kena 'Tinju', Namakan Kitster - "Buat Masa Sekarang Biarlah Ia Berehat"
Kejadian seekor anjing jenis Husky berwarna hitam putih yang viral dipercayai didera berulang kali oleh seorang lelaki mendapat perhatian ramai.
Dalam video yang tular, anjing terbabit difahamkan telah dipukul, ditampar dan dilibas individu terbabit.
Aksi sadis itu dikongsikan oleh seorang pengguna bernama Shimaaris menerusi hantaran di media sosialnya, dipercayai berlaku di sebuah kondominium di Kajang.
Dalam perkembangan terbaharu lewat petang Selasa, Shima yang sering menyelamatkan anjing dan kucing berjaya menyelamatkan haiwan yang didera itu.
"Alhamdulillah, kami berjaya mendapat anjing malang itu yang saya namakan Kitster. Anjing selamat dengan saya, ada di vet.
"Buat masa sekarang, biar Kitster berehat dan sedar dia berada dalam jagaan yang baik. Sebelum ini dia sangat trauma dan emosinya terganggu, biarkan dia pulih dengan kasih sayang," katanya lagi.
Shima mendakwa anjing tersebut diserahkan kepadanya secara baik, namun dikatakan terdapat seekor lagi anjing baka Pomeranian yang masih berada di rumah lelaki berkenaan.
"Dia akan serahkan (anjing) kepada saya secara baik apabila tiba masanya," katanya lagi.

BERITA TRENDING: Sedih Anjing Kesayangan Mati, Menantu David Beckham Saman Pendandan Haiwan

BERITA TRENDING: Kabosu, Anjing Di Sebalik Meme Popular Di Internet Ini Telah Pergi Buat Selamanya…

BERITA TRENDING: Buang Kucing Di Pasar Ibarat Hantar Mereka Ke ‘Neraka’

BERITA TRENDING: “Banyak Kenangan Yang Saya Lalui Bersama Cliff” - Pelatih Sebak Kehilangan ‘Sahabat’ Seperjuangan Akibat Barah

Sementara itu, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) dalam satu kenyataan di media sosial menyifatkan tindakan lelaki di dalam video yang tular bukan sahaja biadab, malah melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015 Seksyen 29.
SAFM berkata, penganiayaan haiwan boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, SAFM menyeru kepada masyarakat untuk segera melaporkan sebarang kejadian kezaliman haiwan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
"Tindakan memukul haiwan secara kejam tidak boleh diampuni. Sebelum memutuskan untuk memelihara anjing, terutamanya baka Husky yang memerlukan perhatian khusus, individu perlu menilai kemampuan mereka untuk memberi masa dan tenaga yang mencukupi.
"Haiwan bukanlah mainan. Mereka adalah makhluk hidup yang mempunyai emosi dan keperluan asasi mereka sendiri," katanya menerusi kenyataan pada petang Selasa.
SAFM juga menuntut keadilan bagi mangsa kezaliman itu dan menekankan kepada JPV untuk mengambil tindakan segera terhadap penjenayah tersebut.
"Marilah kita bersama-sama berdiri menentang kezaliman terhadap haiwan dan memastikan setiap individu yang melakukan tindakan biadab ini dibawa ke muka pengadilan.
"Keadilan harus ditegakkan demi kesejahteraan bersama dan untuk memastikan haiwan-haiwan kita dilindungi daripada sebarang bentuk kezaliman pada masa akan datang," menurut kenyataan itu lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live