Mahkamah Tinggi Johor Bahru memerintahkan seorang kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

BACA: Wanita Langgar Mati 8 Penunggang Basikal Lajak Diperintah Bela Diri

Hakim Abu Bakar Katar dalam keputusannya turut memerintahkan responden Sam Ke Ting, 27, menjalani hukuman selama enam bulan penjara lagi sekiranya tidak membayar denda, selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu untuk melepas dan membebaskan responden daripada pertuduhan berkenaan.

Menurut laporan Berita Harian, Abu Bakar turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan dengan Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.

Beliau berkata, mahkamah bicara didapati terkhilaf dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan pada akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, kebolehterimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa.

Oktober tahun lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap pembebasan Sam daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja terbabit.

Rayuan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 10 Okt 2021 untuk membebas dan melepaskan Sam daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap Sam.

Sumber: FTM

Foto FTM, Harian Metro