Bintang drama Jangan Menangis Cinta, Wanns Ahmad mengakui punyai minat dalam dunia seni sejak dari kecil.

BACA: "Zizan Kuasa Dua Ni!" - Sparring Remy Ishak Kelakar, Wanns Ahmad Mula Kumpul Peminat Jangan Menangis Cinta

Kecenderungan Wanns atau nama sebenarnya Wan Nur Salam Wan Ahmad, 31, itu membuatkannya 'aneh' berbanding tujuh beradiknya yang lain.

"Saya memang dari kecil aneh sikit daripada adik-beradik lain. Saya anak ketujuh daripada lapan beradik dan salasilah keluarga saya, tak pernah ada lagi terjun bidang seni.

"Saya minat dunia seni, menulis ayat-ayat jiwang puisi sastera. Masa kecil juga pernah sertai pertandingan Bintang Kecil, pernah jadi tukang karut dikir barat serta silat seni," ujarnya.

Dalam pada itu, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu optimis dengan bakat yang dimiliki. Mula menceburi bidang seni menerusi bidang lakonan sekitar 2009, bakat suaranya terus diasah menerusi single pertamanya berjudul Terus Mencintaimu.

"Saya start berlakon secara tak rasmi pada tahun 2009, masa tu mula berjinak-jinak. Sambil sertai juga audition program realiti dan pernah sangkut top 10 The Band, tapi saya tak dapat connect dan habis situ.

"Tahun sama saya dapat tawaran untuk merakamkan lagu yang saya tulis sendiri berjudul Terus Mencintaimu.

"Itu secara rasmilah saya masuk bidang seni dan lagu itu pun pernah jadi runut bunyi drama.

"Kemudian saya berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan pada tahun 2016 dan pernah menjadi hos masak-masak dan beberapa program lain.

"Permulaan saya jadi penyanyi menerusi Pencil Pictures Record. Namun saya harus akui, permulaan itu tidak terlalu senang, agak slow sikit.

"Selepas tiga empat tahun baru diketahui tentang lagu itu. Saya pun segan nak ngaku penyanyi," ujarnya yang bakal merakamkan single terbaharu tidak lama lagi.

Untuk rekod, lagu Terus Mencintaimu yang dilancarkan pada 2015 telah mencecah lebih 3 juta tontonan di YouTube.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan Wanns berjudul Jangan Menangis Cinta sedang hangat ditayangkan.

Jangan Menangis Cinta mengisahkan perkahwinan yang dirancang antara Riyana (Amyra Rosli) dan Zafran (Remy Ishak) membuatkan mereka saling jatuh cinta selepas Riyana didapati berbadan dua. Namun perkahwinan mereka duji apabila anak yang lahir kurang upaya.

Drama Jangan Menangis Cinta adaptasi novel terkenal nukilan Siti Rosmizah dibintangi Remy Ishak, Amyra Rosli, Sharifah Fathimah Hawra, Kiah Propa, Atilia Haron, Amanda Amry, Halim Radzli, Rita Nadira dan ramai lagi.

Jangan Menangis Cinta disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di Astro Ria.