TERKINI

Wany Hasrita Teruja Lancar Lagu Raya Baharu ‘Raya Telah Tiba’ - “Lagu Ini Sangat Straightforward”

Ainun Md Zooki 09/03/2025 | 12:55 MYT

Penyanyi Wany Hasrita, meluahkan rasa teruja apabila berpeluang merakamkan lagu raya terbaharunya berjudul Raya Telah Tiba tahun ini.

Menurut Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, lagu tersebut menggambarkan suasana Hari Raya dengan cara yang santai dan mudah difahami oleh masyarakat Malaysia.
Tambahnya lagi, lirik Raya Telah Tiba turut mencerminkan pengalaman sebenar yang dilalui oleh semua orang setiap kali menjelang Syawal, termasuk berpuasa penuh sebelum menyambut Aidilfitri, kesibukan membuat persiapan pulang ke kampung, serta kegembiraan berkumpul bersama keluarga sambil mengenakan baju Raya baharu.
Selain itu, lagu ini juga menyelitkan elemen realistik dan lucu dalam kehidupan, seperti keterujaan balik kampung yang kadangkala disusuli insiden terkena saman trafik akibat terlalu ghairah mahu tiba di destinasi.

"Lagu ini sangat ‘straightforward’, ia bercerita tentang perkara yang kita lalui setiap kali perayaan. Dari berpuasa penuh, persiapan pulang ke kampung, tergesa-gesa hendak sampai ke destinasi, sehinggalah keterujaan hendak ‘ber-OOTD’ dengan baju Raya yang cantik," katanya.

Lebih Bermakna Dengan Kehadiran Anak Sulung

Pada masa sama, Wany turut berkongsi momen istimewa apabila berpeluang menyambut Hari Raya bersama puteri sulungnya, Aishah Al Iman.
Katanya, tahun sebelum ini dia hanya meraikan Syawal ketika sedang hamil, namun tahun ini lebih bermakna kerana dapat menyambutnya bersama anak dan suami tercinta.

BERITA BERKAITAN: “Suara Kak KM, Muka Mas Idayu” - Netizen Terhibur Dengan Gaya & Percakapan Tatty Hassan

BERITA BERKAITAN: The Chosen One 2024: Wany Hasrita Anggap Qal Daienesh Banyak ‘Improvement’, Tak Patut Tersingkir - “Kami Telah Berusaha Mempelbagaikan… ”

Dengan adanya lagu Raya Telah Tiba, Wany berharap ia dapat menjadi antara lagu wajib dalam setiap senarai lagu Raya, sekali gus menemani peminat sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman.

"Semoga lagu ini menjadi peneman ketika dalam perjalanan pulang beraya di kampung. Tetapi jangan terlalu leka sangat sampai tak hiraukan had laju, nanti kena saman pula!" selorohnya.

Pesan Wany: Perbanyakkan Ibadah di Bulan Ramadan

Dalam pada itu, pelantun lagu Menahan Rindu ini turut mengingatkan umat Islam agar tidak sekadar menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadan, tetapi turut memanfaatkan bulan penuh keberkatan ini dengan memperbanyakkan amalan seperti solat, membaca al-Quran dan bersedekah.
Selain itu, Wany mengajak semua untuk berusaha mencari malam istimewa, Lailatul Qadar, yang penuh dengan keberkatan dan lebih baik daripada seribu bulan.
"Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menambah ibadah lebih daripada tahun sebelumnya, dan dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh keberkatan serta kegembiraan bersama keluarga tercinta," ujarnya.

Lagu Raya Telah Tiba Kini Di Semua Platform Digital

Lagu 'Raya Telah Tiba' nyanyian Wany Hasrita telah dilancarkan pada 7 Mac 2025 di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube.
Menampilkan elemen muzik yang lebih rancak, segar dan mencuit hati, lagu ini berbeza daripada lagu-lagu Raya yang pernah dinyanyikan oleh Wany sebelum ini.
Menariknya, Raya Telah Tiba merupakan hasil ciptaan komposer muda, Affan Mazlan, yang menyuntik elemen pop moden dengan sentuhan Melayu klasik serta elemen rock, menjadikan lagu ini unik dan mudah diingati.

BERITA BERKAITAN: The Chosen One 2024: “Saya Suka Jenis Suara Yang Berlemak” – Wany Hasrita Dedah Faktor Utama Pilih Mentee

BERITA BERKAITAN: Netizen Petik Nama Bakal Sertai Gegar Vaganza, Ini Respon Wany Hasrita - “Saya Rasa Kena Tunggu..”

#Lagu #Wany Hasrita #Raya #Baharu #Teruja