Sejak disiarkan, drama bersiri I-Tanggang menerima banyak maklum balas daripada penonton. Rata-rata memberi respon positif terhadap jalan cerita, perkembangan watak, mesej dan juga konflik yang terkandung dalam drama berkenaan.

Terutamanya apabila watak utama, Erma lakonan Sherie Merlis digambarkan sebagai seorang individu yang menghidap Munchausen Syndrome By Proxy, yakni masalah mental yang menyebabkan dirinya sanggup mendera anak demi perhatian dan wang.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa tiga watak lain iaitu Khay (Danish Hazriq), Syafiq (Nadhir Nasar) dan Esra (Emma Sofea) juga menghadapi cabaran yang sama, iaitu berhadapan dengan cabaran kesihatan mental.

Menerusi temu bual yang dijalankan bersama Pakar Psikiatri & Pensyarah, Jabatan Perubatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr Lim Poh Khuen, sungguhpun ketiga-tiga watak itu datang daripada keluarga berbeza, namun, mereka terpaksa berdepan dengan satu cabaran yang sama.

BACA: Dera Anak Demi Perhatian Dan Wang, Drama I-Tanggang Ketengah Penyakit Mental Munchausen Syndrome By Proxy

“Mereka perlu menghadapi cabaran masalah kesihatan mental. Khay menjadi mangsa disebabkan oleh masalah mental yang dialami oleh Erma; Esra pula sukar dikawal mungkin kerana cara pembesarannya manakala Syafiq pula tertekan berhadapan dengan Yus yang mengalami gangguan emosi,” ujarnya.

Menurut Dr Lim lagi, jika masalah ini tidak dirawat, kemungkinan besar ia boleh berubah menjadi penyakit mental.

“Terdapat masalah dalam ketiga-tiga keluarga ini, seperti perceraian, masalah kewangan dan kurang sokongan sosial.

“Hal ini merupakan faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada masalah mental dan sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan penyakit mental,” katanya lagi.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.