Kumpulan pop terkenal dunia, Westlife akan kembali ke Malaysia untuk konsert satu malam di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands, Pahang, pada 9 Jun nanti.

Menerusi konsert Westlife The Hits Tour 2024, kumpulan yang berasal dari Ireland itu akan mempamerkan persembahan mereka yang mempersonakan untuk peminat setia mereka.

Cumanya kali ini, Westlife hanya akan disertai oleh Kian Egan, Nicky Byrne dan Shane Filan. Manakala Mark Feehily tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

BERITA TRENDING: Tak Cringe! Aksi 'Booty Shake' Westlife Di Axiata Arena Bikin Ramai Non-Stop Teriak, Ini 5 Momen Terbaik

Westlife yang ditubuhkan pada 1998, berjaya melakar nama sebagai kumpulan lelaki era 2000-an yang menjadi perhatian di seluruh dunia dengan lagu-lagu hits dan persembahan yang memukau.

Antara lagu dendangan Westlife yang menjadi siulan ramai dan masih diminati hingga kini seperti “Uptown Girl”, “My Love”, "Swear It Again", “Flying Without Wings”, "World of Our Own”, “Hello My Love” dan banyak lagi.

Westlife berjaya menjual lebih 55 juta unit album, memperoleh 36 album No. 1, mengumpul lebih daripada 3 bilion aliran global, melepasi 1 bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia.

Mereka telah menerima pelbagai anugerah termasuk satu World Music Award, dua Brit Awards, empat MTV Awards dan empat Record of the Year Awards.

Tiket ke Westlife The Hits Tour 2024 berharga RM1,188 (VIP), RM988 (PS1), RM788 (PS2), RM588 (PS3) dan RM388 (PS4), tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.

Tiket boleh dibeli atas talian mulai 26 April menerusi MMIC Entertainment Group di mmic.bigtix.io, Resorts World Genting di rwgenting.com dan BookMyShow di my.bookmyshow.com.

Westlife The Hits Tour 2024 dianjurkan oleh MMIC Entertainment Group bersama JS Concert Productions sebagai Promoter, sementara radio SINAR, MIX dan LITE sebagai Rakan Media Rasmi.

PILIHAN PEMBACA: Perkahwinan Mewah Anak Bos Air Asia, Jemput Brian Westlife Nyanyi & Beri Tetamu Hermes