Hiburan

Wow! Si Cilik Tunjuk Bakat Depan Ernie & Mark Adam Dalam ‘Ceria Online Star’!

Fiza Kamarudin
14/04/2020
05:30 MYT
Penyanyi Ernie Zakri dan selebriti versatile Mark Adam bakal menjadi juri program realiti kanak-kanak, Ceria Online Star.
Program istimewa ini akan disiarkan di saluran nombor satu kanak-kanak Astro Ceria pada 15 hingga 17 April ini di Astro Ceria saluran 631 dan Ceria HD saluran 611, jam 7 malam.
Selama tiga hari berturut-turut Ceria Online Star ini juga boleh distrim melalui Astro GO dan on demand.
Ketua Saluran Astro Ceria, Cecilia Wong berkata, idea untuk menerbitkan program tersebut selari dengan saranan kerajaan untuk menangguhkan produksi program hiburan di studio yang melibatkan ramai orang.
“Astro Ceria kali ini membawakan ‘studio’ kami ke rumah peserta masing-masing dengan program realiti maya terbaharu, ‘Ceria Online Star’.
“Selaku peneraju utama kandungan hiburan kanak-kanak di Malaysia, Astro Ceria sentiasa berusaha untuk menerbitkan program-program yang mengujakan dan bermanfaat buat seisi keluarga.
“Program ini boleh dilihat sebagai pembuka langkah inovatif ke arah norma baharu industri hiburan, di mana sesi ujibakat, persembahan, penjurian dan penentuan pemenang semuanya di buat secara atas talian. “Kami percaya, dengan inisiatif ini, anak-anak boleh menggunakan akaun media sosial masing-masing dengan lebih bermanfaat dan produktif, di samping mengasah bakat dalam bidang nyanyian, lakonan dan sebagainya, bagi membantu meningkatkan tahap keyakinan mereka,” katanya kepada Gempak.
Sesi ujibakat bagi program ‘Ceria Online Star’ menerusi laman media sosial, Instagram (IG) yang berlangsung dari 1- 6 April lalu telah menerima lebih daripada 900 penyertaan.
Hanya 20 penyertaan yang terbaik akan dinilai 100 peratus oleh kedua-dua juri, Ernie Zakri dan Mark Adam.
Terdapat tiga aspek penilaian yang diambil kira untuk mara ke peringkat seterusnya iaitu Persembahan Bakat (40%), Kreativiti (30%) dan Faktor Wow (30%).
Peserta Top 20 ini juga boleh memenangi ‘Anugerah Pilihan Penonton’, yang akan diadili oleh audiens berdasarkan jumlah tanda suka pada video setiap peserta yang dimuatnaik ke IG Astro Ceria.
Pemenang bagi program tiga episod istimewa ini akan menerima wang tunai sejumlah RM3,000 (Juara), RM 1,500 (Naib Juara) dan RM1,000 bagi tempat ketiga.
Pemenang ‘Anugerah Pilihan Penonton’ pula akan menerima hadiah kemenangan sebanyak RM500. Ikuti perkembangan terkini Ceria Online Star menerusi laman web, Facebook dan Instagram rasmi Astro Ceria, serta melalui tanda pagar #CeriaOnlineStar.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video