Pelakon Sharifah Sakinah mengesahkan bakal mengakhiri hubungan rumah tangganya bersama suami, Michael Hensen.

Bercakap kepada Kosmo!, Sakinah, 33, berkata hubungan jarak jauh menjadi punca perpisahan mereka.

Sepanjang tiga tahun bersama Michael yang berasal dari Sweden itu, hubungan mereka berada dalam fasa pasang surut dan mengakui proses berulang-alik dari Malaysia ke negara terbabit memenatkan.

"Ya, kami akan bercerai dan akan menjalani kehidupan masing-masing. Kalau jumpa lelaki lain selepas ini, bye-bye.

"Saya tidak mahu lagi menjalani hubungan jarak jauh kerana ia memenatkan. Tenaga saya sudah habis. Saya mahu gembira dan memberi fokus kepada kehidupan.

"Michael tidak boleh menetap di Malaysia kerana mempunyai komitmen kerja dan keluarga yang masih di bawah tanggungannya," katanya.

Terdahulu, Sakinah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila memberi bayangan perkahwinannya dengan Michael sudah berakhir di Instagram.

Menurut Sakinah, dia membuat luahan itu kerana enggan timbul salah faham jika dia dilihat bersama lelaki lain selepas ini.

"Saya ada bercakap dengan Michael, jika dia ada berjumpa dengan wanita lain, teruskan," katanya.

Februari lalu, Sakinah membuat kejutan apabila mengumumkan sah bergelar suami isteri selepas setahun menjalinkan hubungan dengan Michael Hansen.

Sebelum ini, Sakinah yang juga adik kepada pelakon dan pengacara, Sharifah Haslinda serta Sharifah Shahirah itu pernah mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Aliff Adha pada 2015, namun berpisah pada Mei 2020.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan anak perempuan, Anais Adha, 5.

Sumber: Kosmo!