Yakin Tiada Unsur Dendam, Ibu Harap Nidza Afham Ditemui Dalam Keadaan Selamat - “Saya Dah Puas Menangis Tapi Masih…”
Asyikin Mayudin
14/08/2024 12:26 MYT
14/08/2024 12:26 MYT
“Siapa yang tak sedih hilang anak, saya dah puas menangis tapi masih tak berhenti-henti berdoa agar Afham ditemui,” kata ibu kepada penyanyi Nidza Afham iaitu Irni Yusmira Istihat.
Doa Untuk Afham
Masih ikhtiar untuk mengesan abang kepada penyanyi Aufahanie itu, Irni juga turut berharap anak kelima daripda tujuh beradik itu dapat dijumpai dalam keadaan selamat.
ARTIKEL BERKAITAN: Kali Terakhir ‘Update’ Dekat Teman Wanita, Aufahanie Masih Aktif Cari Abang - “Dia Tak Tunjuk Apa-Apa Perilaku…”
ARTIKEL BERKAITAN: Abang Gagal Dikesan Selepas Keluar Jogging, Aufahanie Mohon Bantuan Orang Ramai - "Lokasi Terakhir, Jambatan Sungai Klang"
Menurut wanita berusia 54 tahun ini memberitahu dia tidak berkesempatan untuk berjumpa anaknya yang dilaporkan hilang sejak malam, Selesa selepas berjogging di Stadium Sultan Suleiman, Klang.
“Sebagai ibu, saya berharap Afham dapat dijumpai dalam keadaan selamat. Saya juga berharap tak ada apa-apa berlaku pada dia.
“Saya tak nampak sebarang kelakuan pelik pada Afham sebelum kehilangannya. Kelakuannya sama macam hari-hari biasa dan saya tak ada rasa tak sedap hati.
“Semalam saya tak berkesempatan berjumpa dia kerana ada program di Kuala Selangor. Tapi biasanya kalau nak ke mana-mana dia akan beritahu,” kata Irni kepada Gempak.
Sesuatu Yang Mengejutkan
Ujar Irni lagi, kehilangan Afham adalah sesuatu yang mengejutkan buat mereka sekeluarga kerana dia merupakan anak yang baik dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga.
Malah Irni juga yakin kehilangan Afham tiada kaitan dengan unsur dendam.
“Dia budak yang baik dan memang tak nampak langsung yang dia ada musuh. Kami sekeluarga sangat terkejut dengan kehilangan Afham, adik beradiknya semua sanggup ambil cuti hari ini semata-mata nak mencari Afham.
“Mereka semua sekarang ini masih lagi bertungkus lumus mencari Afham diserata tempat berhampiran Klang,” katanya.
Laporan polis mengenai kehilangan Afham sudah pun dibuat malam tadi dan kes kini masih dalam siasatan.
Afham dikatakan keluar ke Stadium Sultan Suleiman, Klang sekitar pukul 7.54 malam, Selesa dengan menaiki e-hailing untuk berjogging.
Bagaimanapun dia gagal untuk dihubungi selepas pukul 9.13 malam.
Keluarga penyanyi itu kemudiannya cuba mengesan keberadaannya menerusi aplikasi pencarian telefon dan mendapati Afham berada di Jambatan Sg Klang.