Penyanyi Mas Idayu mendedahkan menggalas tanggungjawab sebagai juri untuk program bakat nyayian kanak-kanak lebih mudah berbanding orang dewasa.

Jelas Idayu atau nama asalnya Masidayu Mesnum, 50, hal ini kerana kanak-kanak lebih telus dalam menerima teguran.

Hati kanak-kanak lebih telus

“Menjurikan kanak-kanak lebih mudah berbanding menjurikan bakat orang dewasa kerana hati kanak-kanak ini mereka lebih tenang untuk menerima teguran saya, sebab itu saya suka bila diberi tanggungjawab sebegini.

“Sebabnya kanak-kanak ini ada hati yang telus, mereka lebih tenang dalam menerima teguran, kalau dewasa mereka sudah matang jadi banyak hal yang saya perlu jaga termasuk perasaan mereka.

“Namun berbalik kepada tugas dan tanggungjawab saya, dimana kalau memang ada perkara yang tidak betul saya akan terus menegur, kalau tak tegur pula nanti kanak-kanak tersebut akan ulang lagi kesalahan setiap minggu,” ujarnya kepada Gempak selepas siaran langsung program MeleTop di Studio 1, Astro Bukit Jalil pada Selasa.

Mas Idayu bertindak selaku juri tetap dalam program nyanyian kanak-kanak Ceria PopStar Xtra selain ditemani oleh seorang lagi juri tetap iaitu Johan Raja Lawak.

Ada had untuk kanak-kanak

Tambah pelantun lagu Cintaku 100% itu lagi, dia sudahpun menetapkan beberapa had dalam memberi ulasan persembahan agar peserta tidak berasa takut dengannya.

“Saya ibaratkan macam memandu kereta, ada gear satu, kemudian dua dan tiga, untuk kanak-kanak ini kebanyakkan guna gear satu sahaja, saya tahu had untuk beri komen pada kanak-kanak sampai tahap mana.

“Seawal episod minggu pertama saya bertanya kepada mereka adakah mengenali saya atau pun tidak? Kesemua mereka menjawab mengenali saya.

“Jadi bila dah kenal mudah la untuk saya, tidaklah mereka merasa takut apabila mereka tahu siapa Mas Idayu. Lagipun kanak-kanak ini rasa hormat mereka tinggi, bila saya beri komen jelas di muka mereka semangat ingin belajar,” tambahnya.

Mental dan fizikal perlu kuat

Sementara itu, Mas Idayu turut mengingatkan para peserta untuk memastikan keadaan fizikal dan mental berada dalam keadaan kuat seandainya ingin bergelar penyanyi sebenar.

“Nasihat saya, selepas ini jika mereka sudah habis dari rancangan ini dan ingin berada dalam industri muzik, perlu memastikan fizikal dan mental kuat.

“Perjalanan kerjaya seni naik turun yang pernah saya rasa pastinya mereka akan lalui juga nanti, kerana usia muda mereka akan berlalu sama seperti saya dulu.

“Boleh jadi, zaman mereka yang serba maju ini mungkin akan ada banyak cabaran yang jauh lebih teruk berbanding zaman dulu.

“Untuk itu, belajarlah untuk mengetahui bagaimana cara untuk kawal semua masalah dan cabaran jika datang pada mereka,” kongsinya.

Saksikan konsert akhir Ceria PopStar Xtra jam 9 malam ini di saluran Astro Ceria (611), sekaligus menyaksikan siapa yang bakal memegang gelaran juara yang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000 beserta trofi.