Isteri pelawak Shuk Sahar, Rossa Sera mengakui hanya mahu menghadapi kemelut melanda rumah tangganya dengan sebaik mungkin.

"Sesiapa yang diduga ujian macam ini, sudah tentu (terkesan mental dan fizikal). Kalau boleh biarlah saya dan Allah saja yang tahu bagaimanalah saya hadap.

"Saya cuba ambil yang positif dan cuba selesaikan mana yang terbaik. Yang paling penting, saya fikir untuk diri sendiri dan anak-anak," katanya.

Bagaimanapun dia enggan berkongsi butiran susulan video kehadirannya ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta, di sini, kelmarin.

Dalam video itu, turut kelihatan seorang lelaki yang didakwa Shuk duduk di kerusi pemandu kereta yang dinaiki Sera. Sekali gus mencetus pelbagai teka-teki mengenai status hubungan mereka.

Bagaimanapun, Sera cuma berharap urusannya dipermudahkan dan tidak mahu berkongsi gerangan lelaki dalam video terbabit.

"Mengenai saya ke mahkamah dan pergi dengan siapa, urusan itu biarlah saya saja yang tahu. Doakan semuanya baik-baik saja," katanya.

Pergolakan rumah tangga Shuk dan Sera terus menjadi tanda-tanya selepas Sera mahu memfailkan perceraian terhadap pelawak itu pada November tahun lalu.

Sera dan Shuk mendirikan rumah tangga pada 2015. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, Nur Qurratu Ain, 5 dan Nur Assyifatu Aimi, 2.

Sumber: Harian Metro