Penyanyi hip hop popular MK percaya suntikan vaksin adalah cara terbaik untuk menangani Covid-19 pada masa sekarang.

MK berkata, meskipun ada dalam kalangan masyarakat yang memilih untuk menjadi anti vaksin namun dia berpendapat golongan tersebut tidak perlu didesak.

“Saya tak masuk belah mana-mana pihak. Ada juga ternampak orang bergaduh kerana vaksin itu dan ini tetapi bagi saya golongan yang anti vaksin ini tidak perlu didesak.

“Terpulanglah kepada masing-masing. Tetapi untuk saya sendiri, saya percaya suntikan vaksin adalah yang terbaik untuk menangani Covid-19 buat masa sekarang,” katanya.

Tambah MK lagi, dia sudah pun mendaftar di aplikasi My Sejahtera dan masih menunggu slot untuk suntikan.

"Saya sudah mendaftar di MySejahtera untuk suntikan vaksin tapi masih tunggu giliran.

“Nasihat saya kepada semua, pergilah ambil vaksin untuk kebaikan kita bersama. Jangan uadh terpengaruh dengan unsur-unsur tidak baik.

“Tetapu kalau orang tu tak mau ambil vaksin, biarkan dia..Hormati pendirian dia untuk menjaga keharmonian, tak payah gaduh-gaduh,” katanya.

MK berkongsi pendapatnya itu sewaktu sidang media maya lagu baharunya Veto baru-baru ini.
Lagu Veto turut menampilkan MK bekerjasama dengan rakan baiknya Tuju, Loca B dan DJ Cza.

Veto juga diiringi video muzik arahan Shahrin Bahar, yang pernah menghasilkan visual hebat lagu CIAO oleh Joe Flizzow. Dengan tetapan LED 360 darjah, video ini berjaya menzahirkan impak lagu ini ke dalam bentuk visual.

Seperti kehebatan audionya, seni visualnya juga canggih dan luar biasa. Ia pasti mampu menarik perhatian dunia.

Veto kini boleh didapati di semua platform pengstriman muzik seperti Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, Spotify, YouTube & YouTube Music.