Hiburan

Yazit Sendiri Akan Serah Wang Sumbangan Kepada Sahabat Lain Yang Memerlukan – Awie

gempak
Fiza Kamarudin
19/04/2017
10:32 MYT
Sponsor Banner
Yazit Sendiri Akan Serah Wang Sumbangan Kepada Sahabat Lain Yang Memerlukan – Awie
Vokalis Wings, Datuk Awie, memberitahu pemain dram Yazit yang juga ikon Konsert Wings & Superfriends – Belenggu Irama sendiri akan menyerahkan wang hasil kutipan tiket kepada rakan artis yang lebih memerlukan.
Awie berkata, Wings turut memberi kebebasan kepada Yazit untuk mengagihkan sebahagian lagi wang sumbangan kepada mana-mana artis yang dirasakan memerlukan.
“Buat masa ini kami belum boleh umumkan berapa jumlah jualan tiket Konsert Wings & Superfriends – Belenggu Irama kerana masih diaudit.
“InsyaAllah, selesai semuanya nanti acara penyerahan sumbangan kepada Yazit akan diadakan seperti yang kami janjikan sebelum ini.
“Dan saya sendiri ingin melihat Yazit, ikon konsert ini menyerahkan sendiri hasil sumbangan ini kepada orang-orang yang memerlukan, bukan sahaja rakan artis,” katanya.
Selain itu Awie berkata, kumpulan Wings kini dalam proses perbincangan dengan pihak yang sedia untuk membiayai kos rawatan dialisis Yazit.
“Pihak tersebut mahu membantu Yazit sebanyak RM5,000 untuk menampung kos rawatan bulanan dia. Ada persatuan yang menyalurkan RM500 tetapi jumlah tersebut tidak cukup.
“Lagipun Yazit perlu menjalani rutin mencuci darah tiga kali seminggu. Dalam keadaan sekarang dia memerlukan sokongan moral dari kita semua.
“Untuk itu, kami cuba mengurangkan beban ditanggung Yazit dan berharap agar ia dapat direalisasikan dengan segera. Lebih cepat, lebih bagus,” katanya selepas majlis penghargaan Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama, malam Isnin.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda terima kasih Wings kepada pemuzik, penyanyi dan kru yang terlibat dengan konsert itu, minggu lalu.
Antara selebriti yang hadir termasuk Datuk M Nasir, Datuk Nash, Liza Hanim, Sahara Yaakob, Jaclyn Victor, Lan dan Rodi Kristal, Kudeen (3 Juara), Ucop (Vokal Bukan Sekadar Rupa), Bila serta ramai lagi. Awie memaklumkan, penganjuran konsert yang berlangsung di Istana Budaya selama empat malam bermula pada 6 April lalu membabitkan penyertaan lebih 30 penyanyi dan pemuzik, selain kira-kira 120 kru sokongan.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024