HIBURAN

YouTuber Terkenal Yang Pernah Berendam Dalam Sambal, Masak Cicak, Peluk Islam

Maliah Surip 12/03/2025 | 12:50 MYT
Berita mengejutkan datang dari YouTuber terkenal Indonesia, Bobon Santoso pada bulan mulia Ramadan ini.
Bobon yang cukup terkenal dengan konten memasak dalam jumlah banyak dan kemudian diberikan kepada masyarakat selain melakukan pelbagai eksperimen terhadap makanan telah memeluk agama Islam.
Kisah Bobon, 35, yang merupakan seorang penganut Kristen sebelum memeluk Islam dikongsikan menerusi video yang beredar di media sosial.
Youtuber itu dipercayai telah memeluk Islam pada 10 Mac 2025 dan mengucapkan lafaz dua kalimat syahadat dengan bimbingan penceramah bebas, Ustaz Derry Sulaiman, di Masjid An Ni’mah, Grand Citra Cibubur, Jakarta Timur, lapor Antara.
Menerusi video yang tersebar, Bobon terlihat duduk bersila di dalam masjid, sementara Ustaz Derry Sulaiman membimbingnya mengucapkan syahadat. Majlis tersebut dihadiri beberapa orang sebagai saksi.
Tanpa menyatakan dengan jelas dirinya rasmi menjadi mualaf, Bobon sebaliknya berkongsi foto dirinya bersama Ustaz Derry Sulaiman sedang menyediakan juadah berbuka puasa di sebuah masjid dengan petikan ayat Al-Quran. Ayah kepada dua anak ini menutup ruangan komen.
Memiliki 2.9 juta pengikut di Instagram, Bobon sebelum ini mencuri perhatian netizen apabila melakukan beberapa eksperimen memakan yang agak ekstrem.
Selain pernah menunjukkan aksi memakan haiwan seperti cicak, ular tedung dan kuda, Bobon juga pernah menimbulkan kontroversi apabila memasak alat elektronik termasuk televisyen.
Untuk menarik perhatian netizen, lelaki yang berasal dari Bali itu juga pernah melakukan aksi ekstrem seperti berendam dalam sambal.
#Viral #Islam #Cicak #Youtuber #Sambal #Bobon Santoso