Viral

Influencer Buka Cerita Peluk Islam - "Bila Tengok Kawan Solat, Ambil Wuduk, Saya Lebih Tertarik"

gempak
Gempak
23/10/2024
14:02 MYT
Sponsor Banner
Influencer Buka Cerita Peluk Islam - "Bila Tengok Kawan Solat, Ambil Wuduk, Saya Lebih Tertarik"
"Saya tak pernah menyangka akan memeluk Islam lebih-lebih lagi dalam usia muda tapi bersyukur kerana Allah SWT buka hati untuk terima hidayahNya."

BERITA TRENDING: Riena Diana Kagum Keith Foo Berusaha Dalami Agama Islam - “Kakak Dan Abang Dia Juga Mualaf”

Itu kata mualaf muda, Ahmad Aaron Lim, 21, ketika diminta menceritakan kisah penghijrahannya yang menjadi satu-satunya individu memeluk Islam dalam keluarga.
Berkongsi kisahnya, penuntut Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Komunikasi di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu berkata, dia memeluk Islam secara rasmi pada Disember tahun lalu di Pejabat Agama Islam Kuala Nerus, Terengganu.
Sebelum berhijrah, Ahmad Aaron memang bergaul dan mempunyai ramai rakan Melayu malah tahu kewajipan dalam Islam seperti solat lima waktu selain kepercayaan kepada Allah SWT serta Rasulullah SAW sebagai utusanNya.
Bagaimanapun, hatinya mula terjentik memeluk Islam selepas satu perbualan ringkas dengan seorang guru di sekolah.
"Waktu itu, saya di Tingkatan Enam dan selalu tolong cikgu. Pada satu hari, ada seorang cikgu tanya adakah saya orang Islam.
"Soalannya membuatkan saya tertanya mengapa cikgu itu kata begitu dan tak lama kemudian datang keinginan mendalami ajaran Islam.
"Saya cuba belajar dengan merujuk Internet dan menonton video di Youtube selain ikut kawan ke masjid dan surau.
"Bila tengok kawan solat nampak rutin mereka ambil wuduk dan jaga kebersihan jadi itu yang membuatkan saya lebih tertarik dengan ajaran Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

BERITA TRENDING: Berdarah Campuran Thailand-Belanda, Peluk Islam Sebelum Kahwin, Ini 7 Fakta Mengenai Dali Wassink

Ahmad Aaron berkata, rakan baiknya, Mohamad Zulhazwan Jazli Rusdi banyak memberi bimbingan malah turut memperkenalkannya dengan Allahyarham Prof Madya Dr Zulazhan Ab Halim iaitu ustaz yang membantu membawanya ke pejabat agama untuk menguruskan proses pengislaman.
Katanya, urusan itu berjalan lancar namun tanpa pengetahuan keluarga.
"Cabarannya adalah nak solat di rumah selepas memeluk Islam kerana tinggal dengan keluarga.
"Memandangkan tak beritahu ibu dan ayah, saya solat senyap-senyap dalam bilik tapi tak tenteram kerana takut ada yang ketuk pintu bilik atau masuk.
"Ikutkan, saya nak simpan rahsia itu tiga tahun tapi Mac lalu, saya nekad berterus terang dengan keluarga kerana nak jaga hubungan dengan mereka.
"Alhamdulillah, keluarga terima keputusan saya dan pesan walau apa pun, mereka tetap ibu ayah saya dan saya masih anak mereka," katanya.
Kini, Ahmad Aaron mengakui hidupnya lebih tenang dan berasa seperti dilahirkan semula.
"Penghijrahan ini mengajar saya bagaimana nak jadi manusia sebenar dan tahu apa yang halal juga haram.
"Nak belajar mendalami ajaran Islam agak mencabar kerana saya tak pandai baca al-Quran awalnya malah susah sebut perkataan bahasa Arab hingga pernah berasa ketinggalan berbanding rakan mualaf lain.
"Tapi saya terus belajar sampai sekarang dan kalau boleh nak jadi inspirasi supaya dapat menarik minat mereka mahu mendalami Islam ke jalan yang benar," katanya.

BERITA TRENDING: Baru Peluk Islam, Lelaki Mualaf Ini Bawa Babi Untuk Dijadikan Haiwan Korban

Sumber: Harian Metro
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024