Hiburan
Zahiril Adzim Anggap Watak Falah Antara Terbaik Dalam Karier Lakonan - "Ada Yang Sanggup Cari Rumah..."
Pelakon Zahiril Adzim mengakui watak Falah dalam drama Andai Tiada Dia merupakan salah satu karakter terbaik sepanjang perjalanan kariernya dalam industri lakonan.
Menurut Zahiril, atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, impak watak itu sangat mendalam sehingga ada peminat yang sanggup mencari lokasi penggambaran rumah Falah dalam drama tersebut.
"Fenomena itu sudah berlalu. Saya rasa sekarang ini tengah trending adalah drama Curang Tanpa Niat. Saya rasa zaman saya sudah berakhir dan saya sudah move on.
"Watak Falah adalah salah satu karakter terbaik dalam perjalanan karier saya dalam dunia industri lakonan.
"Kesan watak itu sangat besar, sehingga saya perasan di TikTok ada yang mencari lokasi penggambaran dan berkata, ‘Oh, ini rumah Falah!’. Saya rasa industri kita sangat dihargai.
"Saya sudah lama tidak melihat bagaimana industri kita diraikan sehingga ke tahap ini. Namun bagi saya, watak Falah sudah pun berakhir. Ceritanya patut habis begitu sahaja," katanya kepada Gempak.
Zahiril berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran UNIFI TV Originals Ramadhan Raya 2025 yang berlangsung di Boathouse By The Lake, Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
BERITA BERKAITAN: Seharian Makan Sardin, Zahiril Adzim Kongsi Pengalaman Kerja Dengan Produksi Bermasalah - “Saya Mula Rasa Pelik Apabila…”
BERITA BERKAITAN: “Saya Hampir Tolak Sebab Rasa…” - Zahiril Adzim Bincang Dengan Isteri Sebelum Setuju Jadi Duta Bulan Bintang Sedekad Menyinar
Dalam pada itu, Zahiril turut meluahkan rasa terkejut apabila tersebar gambarnya yang telah diedit dengan tulisan "Al-Fatihah", sehingga menyebabkan ramai peminat menyangka dia telah meninggal dunia.
"Ada yang ekstrem sampai peminat ingat saya sudah meninggal dunia kerana tersebar satu gambar yang telah diedit dengan tulisan Al-Fatihah.
"Bila gambar itu tersebar, ramai yang komen ‘Eh, Zahiril dah meninggal dunia?’ dan ada yang terkejut apabila melihat saya masih hidup.
"Pada mulanya, saya sangka mereka hanya bergurau, tetapi rupa-rupanya mereka betul-betul percaya saya sudah tiada.
"Tapi, Alhamdulillah, saya masih lagi hidup dan saya harap orang ramai dapat mendoakan yang terbaik buat saya," jelasnya.
BERITA BERKAITAN: Zahiril Adzim Hargai Peluang Jadi ‘Perencah’ Dalam Andai Tiada Dia - “Terima Kasih Falah”
BERITA BERKAITAN: Falah Meninggal! Peminat Andai Tiada Dia Minta Pengarah Hidupkan Balik - “Falah Mati, Nyawa Intan Kemain Liat”
Must-Watch Video