Hiburan
Seharian Makan Sardin, Zahiril Adzim Kongsi Pengalaman Kerja Dengan Produksi Bermasalah - “Saya Mula Rasa Pelik Apabila…”
Pelakon Zahiril Adzim mengakui pernah melalui pengalaman pahit sepanjang bergelar anak seni.
Menurut Zahiril, atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 41, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah ketika bekerja dengan sebuah produksi yang berdepan masalah kewangan sekitar lima tahun lalu.
“Saya tidak kata semua, tetapi mungkin ada dalam kalangan pengkarya seni yang pernah menghadapi situasi atau pengalaman di mana mereka ‘terperangkap’ dalam produksi yang mengalami masalah kewangan. Kadangkala, perkara seperti ini memang sukar untuk dijangka.
"Bagi saya sendiri, masih teringat pengalaman lima tahun lalu ketika berdepan dengan situasi tersebut. Suatu hari di set penggambaran, saya mula rasa pelik apabila sepanjang hari produksi hanya menyediakan makanan berasaskan sardin.
"Sarapan pagi roti dengan sardin, tengah hari lauk sardin, malam pun makan sardin. Keadaan itu menimbulkan tanda tanya sehingga akhirnya saya bersuara mewakili semua, termasuk kru. Iyalah, seharian makan sardin. Ada sebarang masalah ke?” katanya kepada Gempak.
Zahiril berkata demikian ketika menghadiri majlis pelancaran UNIFI TV Originals Ramadhan Raya 2025 yang berlangsung di Boathouse By The Lake, Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dia menyuarakan perkara itu bukan kerana mementingkan dirinya sendiri, tetapi kerana simpati terhadap semua pihak, terutama kru dan pekerja belakang tabir yang melakukan kerja berat.
“Selepas menyuarakan hal itu, rupa-rupanya pembantu pengarah memaklumkan produksi mengalami masalah kewangan. Itu antara pengalaman saya yang boleh dikatakan agak sukar untuk dilupakan,” kongsinya.
Pada masa yang sama, aktor itu turut mendedahkan drama berkenaan masih belum ditayangkan sehingga kini tanpa mengetahui puncanya.
Selain itu, Zahiril juga mengakui menerima bayaran lebih lambat daripada kebiasaan.
Oleh itu, kini dia lebih berhati-hati sebelum bersetuju untuk terlibat dalam sesuatu projek bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.
“Setahu saya, drama itu tidak pernah ditayangkan dan saya tidak tahu mengapa. Bayaran saya memang diterima, tetapi hanya selepas saya bersuara, dan ia mengambil masa yang lebih lama daripada biasa,” kongsinya.
BERITA BERKAITAN: “Saya Hampir Tolak Sebab Rasa…” - Zahiril Adzim Bincang Dengan Isteri Sebelum Setuju Jadi Duta Bulan Bintang Sedekad Menyinar
BERITA BERKAITAN: Netizen Tegur Tak Elok Bercakap Ketika Makan, Ini Respons Zahiril Adzim - “Selama Ini Pun Saya Ingat Macam Itu Tapi Rupanya…”
BERITA BERKAITAN: Kehadiran 'Fatah' Undang Tawa, Peminat Teka Bakal Ada Musim Kedua Andai Tiada Dia?
BERITA BERKAITAN: Malaysia Tangisi Pemergian Falah, Adakah Intan Bakal Dapat Pembalasan?
Must-Watch Video