HIBURAN
Zainal Abidin Terkilan Ada Penyanyi Tolak Sertai Konsert Legasi P Ramlee, Anggap Satu Kerugian Tak ‘Join’ - “Mungkin Ego & Berasakan Diri…”
Penyanyi, Datuk Zainal Abidin tidak berfikir panjang dan terus bersetuju ketika dilamar untuk menjayakan Konsert Legasi P. Ramlee : Merentas Masa, Menyatu Generasi Seni yang bakal berlangsung pada 20 September di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Penghormatan kepada seniman agung
Bagi Zainal, 65, satu kerugian besar jika menolak tawaran tersebut kerana menganggap ia merupakan peluang terbaik untuknya memberi penghormatan kepada seniman agung Allahyarham P. Ramlee.
ARTIKEL BERKAITAN: “Anak Saya Mesti Berbintikan Zainal Abidin, Kalau Bukan Maka…” - Zainal Abidin
"Saya tidak fikir panjang, apabila diberi tawaran dan pihak penganjur sebut nama P. Ramlee, saya terus bersetuju. Ini adalah satu sumbangan dan pengorbanan yang boleh saya berikan selama lebih 50 tahun dalam industri.
"Ini adalah masa yang sesuai memberi penghargaan kepada lagenda hebat, P. Ramlee dan meletakkan mahkota di tempat yang sepatutnya.
"P. Ramlee adalah simbol perpaduan. Apa sahaja karya dihasilkan oleh Allahyarham mampu menyatukan pelbagai bangsa dan kaum.
"Kalau saya tidak dapat peluang untuk sertai konsert ini, saya akan menangis. Kerana peluang ini belum tentu ada lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Gempak.
Zainal berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Legasi P. Ramlee : Merentas Masa, Menyatu Generasi Seni yang diadakan di Finas, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Penyanyi tolak tawaran
Dalam pada itu, pelantun lagu Hijau ini turut meluahkan rasa sedikit terkilan dengan beberapa penyanyi yang menolak tawaran untuk menjayakan konsert berkenaan.
Bagaimanapun, Zainal percaya ada sebab serta alasan tersendiri mengapa artis yang tidak didedahkan namanya itu terpaksa berbuat demikian.
"Kepada penyanyi yang tidak terpilih atau tolak tawaran untuk konsert ini mereka amatlah rugi. Pihak penganjur ada melamar beberapa artis yang makan tahun untuk mereka membalas.
"Padahal penyanyi itu terbaik, dikenali dan dirasakan sesuai untuk tampil di konsert ini. Mungkin juga kekangan masa dan jadual kerja yang tidak sesuai menjadi faktor penyanyi itu tidak sertai.
"Atau mungkin ego dan berasakan diri mereka lebih besar daripada P. Ramlee. Berdepan dengan artis yang ego ini nak salahkan mereka seratus peratus pun tidak boleh.
"Bagi saya, saya tahu nilai untuk berdiri di atas pentas, menyanyikan lagu P. Ramlee adalah satu penghormatan. Malah, kalau ada urusan kerja lain saya juga sanggup batalkan urusan itu untuk beri laluan kepada konsert ini,” ujarnya.
Konsert Legasi P. Ramlee : Merentas Masa, Menyatu Generasi Seni dianjurkan oleh Tanahair Films Sdn. Bhd.
Konsert ini bakal dipimpian oleh empat Maestro Muzik terkenal iaitu Datuk Ramlis MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen.
Selain Zainal, antara penyanyi lain yang turut serta adalah Datul Jamal Abdillah, Ella, Mimi Fly, Liza Hanim, Nadeera, Musly Ramlee, P. Radhi dan Danie Hasbullah.
Tiket konsert boleh didapati di www.ticekt2u.com.my.