HIBURAN

Zarif Ghazzi Puas Bawa Watak Doktor Fakhrul, Syukur Lakonan Dalam Seribu Tahun Dapat Pujian – “Yang Penting Adalah…”

Khairil Khusyairi 21/05/2025 | 07:50 MYT
Pelakon meningkat naik, Zarif Ghazzi mengakui watak Doktor Fakhrul dalam drama hits lakonannya, Seribu Tahun sangat berat.

Janji Mesej Sampai Pada Penonton

Menurut Zarif atau nama lengkapnya Zarif Farahi Effie Ghazzi, 21, wataknya itu sangat penting dalam menyampaikan mesej kepada penonton terutama berkaitan ujian hidup dan realiti yang dihadapi masyarakat kini.

“Berat, sangat berat. Yang penting adalah tanggungjawab saya untuk sampaikan mesej drama itu.
“Ditambah pula karakter Doktor Fakhrul sangat berbeza dengan realiti saya, itu adalah cabaran utama saya.

“Banyak mesej yang disampaikan, setiap manusia tidak lari daripada banyak ujian, dan ada masyarakat yang tidak tahu yang perkara ini memang wujud dalam kehidupan sekarang,” katanya kepada Gempak.

Lakonan Terima Pujian

Kongsi Zarif lagi, dia juga menerima mesej daripada penonton yang menyangka kehidupan sebenar dirinya sama seperti karakter dalam drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu.
Namun, Zarif menganggap ia sebagai satu pujian terhadap lakonannya.
“Berjaya atau tidak lakonan saya, saya serahkan pada pengarah.

“Saya ada juga dapat mesej daripada penonton yang bertanya adakah realiti saya seperti watak dalam drama, saya cuma jawab ia hanya lakonan semata.

“Tapi bagi saya ia satu pujian untuk saya sebab saya dah bawakan watak itu dengan baik,” ujarnya.

Puas Bawa Watak Dr Fakhrul

Dalam pada itu, Zarif meluahkan rasa puas hati dengan keseluruhan perjalanan lakonannya dari awal hingga akhir.

“Secara jujurnya saya sangat puas.

“Daripada awal episod sehinggalah episod akhir, pengakhirannya juga bagus jadi saya sangat berpuas hati.

“Mesej yang saya cuba sampaikan pun apa yang ada di dalam skrip seratus peratus saya dapatkan keluarkan kepada penonton,” tutupnya optimis.

Drama Seribu Tahun bakal melabuhkan tirainya pada Rabu dan Khamis ini jam 9 malam di Astro Ria. Juga boleh ditonton melalui astro One dan Sooka!

#pelakon #Drama #Penonton #Puas #Watak #Pujian #Seribu Tahun #Zarif Ghazzi