Zarina Zainuddin Akui Risau Tiada Tawaran Lakonan Selepas Bertudung

Kamaruddin Razal
September 25, 2017 09:41 MYT
Pelakon Zarina Zainuddin mengimbas kembali kenangan ketika mula memakai tudung penghujung tahun lalu.
"Pada awalnya, hati saya berbolak balik. Saya takut orang tidak akan menawarkan saya mana-mana karakter dalam drama bersiri atau telefilem selepas saya bertudung. Bidang lakonan telah menjadi salah satu sumber kewangan saya untuk membantu suami menyara keluarga selain berniaga, jadi sudah pasti timbul rasa risau.
"Ada satu ketika, saya menerima tawaran sebuah karakter yang memerlukan saya membuka tudung kerana saya masih dalam fasa kekeliruan.
"Selepas itu, saya fikir masak-masak dan menghubungi semula penerbit tersebut. Dia memahami situasi saya dan menasihati saya agar menetapkan hati. Katanya, jangan risau, pasti ada rezeki lain yang menanti.
"Alhamdulillah, Allah permudahkan jalan saya. Perniagaan pulut kuning dan kosmetik yang saya usahakan semakin mendapat tempat di hati peminat. Saya juga diberi tawaran yang bersesuaian dengan penampilan baru saya," kata Zarina ketika ditemui di majlis perlantikan ikon Variation Zone Festival 2017 yang diadakan baru-baru ini.
Dilantik sebagai ikon festival yang bakal berlangsung pada 13 Disember hingga 17 Disember 2017 di The Strand, Kota Damansara, Zarina meluahkan rasa syukur.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dilantik sebagai ikon bagi fesrival ini. Saya sememangnya aktif dalam menjalankan perniagaan kosmetik dan pulut kuning.
"Festival ini dapat memberi peluang untuk ramai wanita di luar sana untuk menambahkan pendapatan dengan berniaga," katanya lagi.
Variation Zone Festival merupakan acara sulung anjuran Wyn Wyn Event Sdn Bhd. Pengunjung Variation Zone Festival bakal berpeluang untuk melihat dan membeli pelbagai produk dan makanan daripada 150 booth.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @zarinazainuddin_
#pelakon #Zarina Zainuddin #Pelakon