Setelah 20 tahun bergiat di dalam industri muzik tanahair, kumpulan nasyid Inteam bakal mempunyai pelapis mereka sendiri iaitu kumpulan baru empat orang anak muda yang menamakan diri mereka Zayne.

Kumpulan Zayne baru-baru ini telah memeterai perjanjian pengurusan artis dan penerbitan lagu bersama Inteam melalui syarikat Inteam Records Sdn Bhd atau dikenali sekarang dengan nama Inteam Digital sebagai artis baru mereka.

Kumpulan baru ini terdiri dari empat orang anak muda iaitu Muhammad Furqan Fawwas Salleh Sani (22), Matin Muzzamil Mohd Ya’acob (24), Ahmad Naufal Azrin (21) dan Abdul Basit Zulkipli (25).

Mereka terdiri daripada graduan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Al-Quran dan Qiraat serta Usuluddin, pelajar lepasan pengajian Maahad Tahfiz, manakala seorang lagi masih meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Islam Syariah.

Menamakan kumpulan mereka Zayne yang berasal dari perkataan Arab bermaksud perhiasan yang indah, mereka kini sedang giat merakam single pertama mereka di Studio Inteam di Bandar Sri Damansara.

"Alhamdulillah, kami bersyukur kerana telah terpilih untuk bekerjasama dan menyebarkan mesej yang baik melalui nasyid di bawah bimbingan abang-abang senior kami Inteam yang telah berpengalaman dalam bidang ini lebih 20 tahun," kata Fawwas yang merupakan ketua kumpulan Zayne.

Ketika ditanya adakah mereka akan dibayangi imej kumpulan Inteam, anak-anak muda ini mempunyai jawapan tersendiri.

"Insya-Allah kami akan membawa identiti kami sendiri, bersesuaian dengan kumpulan sasaran kami iaitu remaja, tambahan pula abang-abang Inteam telah menasihati kami supaya tidak terikut dengan imej dan cara pembawakan mereka, sebaliknya memberi kami kebebasan memilih cara sendiri," kata Naufal.



Kumpulan Zayne sebelum ini telah pun merakamkan beberapa lagu projek rakaman semula seperti lagu 'Man Ana' menampilkan Rahim Inteam, 'Iktiraf' menampilkan Lah Ahmad dan beberapa lagu lagi yang diberi nafas baru.

Lagu-lagu tersebut telah pun dimuatnaik di rangkaian YouTube Inteam Digital sebelum ini dan mendapat jumlah tontonan yang sangat baik.

"Sebagai artis baru, kami perlu banyak belajar dan memerlukan bimbingan artis-artis yang telah lama dan berpengalaman. Kami akan cuba buat yang terbaik, dan mengharap sokongan padu dari semua," tambah Mateen.


"Insya-Allah, lagu terbaru sebagai single rasmi pertama kami akan dilancarkan pada Februari nanti dan kami akan mempromosikan lagu tersebut yang berjudul Nur, dan ia akan dimuatnaik di semua platform digital seperti Spotify, Deezer dan rangkaian YouTube Inteam Digital" kata Basit.