HIBURAN

Zeera Azizi Tertarik Dengan Petah Bicara, Akal Zhiddin Aziz! - "Bila Borak Rasa Macam Masuk 'Parlimen', Manalah Tak Jatuh Cinta"

Amri Hassan 03/08/2025 | 02:55 MYT
Pelakon dan selebriti media sosial, Zeera Azizi, akhirnya berkongsi kisah sebenar tentang hubungannya dengan pempengaruh popular Zhiddin Aziz yang sering dikaitkan dengannya sejak kebelakangan ini.

Menurut Zeera, bukan rupa atau populariti yang menarik perhatiannya. Sebaliknya, dia terpikat dengan cara Zhiddin membawa diri, kebijaksanaan dan kepetahan berbicara.

"Dia matang daripada usianya. Dia juga pandai dalam berkata-kata, percakapannya tersusun dan dia sangat bijak. Macam mana kita tak terjatuh cinta," katanya kepada Gempak.

Pasangan itu ditemui pada majlis Travel Redefined Al Ikhlas, di ibu kota baru-baru ini.

Zeera turut mengakui bahawa sebelum ini, dia tidak pernah bertemu lelaki seperti Zhiddin yang begitu menjaga tutur katanya dan penuh berhemah ketika berbual.

"Terus-terang saya tak pernah. Tak pernah jumpa orang yang macam inilah. Yang betul-betul jaga kata-kata dia. Ini pengalaman pertama saya kenal dengan lelaki seperti dia," katanya lagi.

Namun hubungan mereka tidaklah sentiasa lancar. Menurut Zeera, perbezaan pendapat memang berlaku dan adakalanya dia sendiri pening kepala kerana hujah-hujah Zhiddin terlalu teratur dan sukar dipatahkan.

"Setiap kali berbual ada saja jawapan dia akan bagi kepada kita. Kalau ada berbalah kata itu, saya boleh sampai mati akal nak balas semula kata-kata dia. Macam masuk Parlimenlah kalau bergaduh. Selalu begitulah.

"Kadang-kadang benda itu macam pelik. Tapi saya macam layankan sahaja sebab dia memang begitu," ujar Zeera.

Tambahnya lagi, Zhiddin bukan sahaja bijak berhujah tetapi juga sering menjadi tempat rujukan apabila dia keliru atau tidak faham sesuatu perkara.

"Pernah kalau macam tengok wayang ke, ada ayat-ayat yang saya tak faham. Saya tanya dia. Dia akan beritahu secara terperinci, macam kamus bergerak atau wikipedia pun ada. Tetapi itulah keistimewaan Zhiddin yang membuatkan saya selesa dengannya," katanya.

Zeera turut menyatakan bahawa dia banyak belajar perkara baharu daripada Zhiddin sepanjang perkenalan mereka dan menganggap hubungan ini sesuatu yang membuka mata serta mengubah perspektifnya dalam melihat dunia.
#pelakon #Zhiddin Aziz #Zeera Azizi