Sejak akhir-akhir ini hangat diperkatakan tentang hubungan mesra pelakon Zarina Anjoulie dan Zoey Rahman.

Hubungan kedua-dua mereka dikatakan rapat apabila kerap dilihat bersama dan yang terbaru Zoey telah menemani Zarina yang mesra dengan panggilan Anjou, ke sebuah klinik kecantikan untuk membuang tatu di badannya.

Menerusi sebuah perkongsian video di laman sosial Facebook (FB), Anjou kelihatan tenang ketika doktor sedang menjalankan prosedur tersebut.

Anjou berkata, proses tersebut tidak menyakitkan dan dia merancang untuk membuang kesemua tatu yang dicacah dibadannya itu.

“Salam semua, saya sedang membuang tatu, nak buang tatu. Yang penting nak buang nama ‘orang’ tu dulu sebab buang ‘suey’ (bala).

“Tak sakit sebab saya sudah disuntik bius terlebih dahulu, kalau tak bius tentulah sakit,” katanya menjawab soalan warganet ketika sesi ‘live’ di FB tersebut.

Tambah Anjou lagi, proses tersebut perlu dijalankan beberapa kali lagi sehingga kesan cacah pudar dan hilang sepenuhnya.

“Proses hendak membuang tatu tidak boleh dilakukan sekali sahaja, ia bergantung kepada berapa dalam tatu dicacah, ketebalan, corak dan warnanya.

“Begitu juga dengan harga, bergantung kepada semua yang disebutkan tadi. Proses ini memakan masa tapi saya akan buang satu-satu,” katanya.

Sementara itu di ruangan komen, perkongsian Anjou mengundang pelbagai reaksi warganet. Walaupun ada yang menghentam tetapi ramai juga memberikan kata-kata positif.

Perkongsian tersebut telah ditonton 1.3 juta kali, 779 perkongsian dan lebih 3,100 komen daripada warganet , ketika artikel ini ditulis.