Zul Ariffin Banyak Bantu Saya - Ayda Jebat
Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat mengakui yang aktor Zul Ariffin banyak membantu dirinya.
Jika diimbas semula, gandingan Ayda bersama Zul menerusi drama bersiri Rindu Awak 200% melayakkan gadis itu menggondol beberapa anugerah sepanjang tahun lalu.
Terbaru, menerusi drama bersiri MAID yang menggandingkan mereka buat kali kedua, Ayda berjaya tersenarai dalam pencalonan akhir Anugerah MeleTOP Era 2016 (AME 2016) menerusi kategori Pelakon Meletop dan Drama Meletop.
"Saya tidak menafikan gandingan kami berdua banyak membantu saya. Semenjak itu, nama saya mula dikenali dalam persada seni tanah air.
"Saya tidak boleh berdiri atas kaki sendiri. Suksesnya sesuatu produk itu bukanlah hanya bersandarkan kepada satu pihak sahaja. Gandingan saya iaitu Zul, pelakon-pelakon lain dan krew produksi juga banyak membantu saya," kata Ayda.
Tambah Ayda, kehadiran peminat turut menjadi penyumbang terbesar sepanjang perjalanan kariernya dalam bidang lakonan dan nyanyian.
"Susah untuk saya jaga peminat. Bermula dari bawah, kini bakat saya semakin mendapat tempat di hati peminat. Kadang-kadang terdetik di hati saya, bagaimanakah saya mahu mengekalkan momentum yang ada.
"Saya masih ingat, suatu masa dahulu, tiada orang pun mahu bergambar bersama saya. Kini, saya sangat bersyukur kerana ada yang sudi bergambar.
"Saya mahu membalas semua jasa peminat yang menyokong saya selama ini. Kalau ada sesuatu program, saya sanggup menanti di akhir program untuk bergambar bersama mereka.
"Ada yang datang dari jauh kerana mahu berjumpa dengan saya. Kalau saya terpaksa balik lambat semata-mata mahu melayan peminat pun tidak mengapa kerana usaha mereka yang datang untuk berjumpa dengan saya amat saya hargai," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ayda yang turut tercalon dalam kategori Penyanyi Meletop dan Lagu Meletop AME 2016 kini hadir dengan single kedua yang berjudul Pencuri Hati.
Teks Oleh: Kamaruddin Razal