BERITA
Lelaki 75 Tahun Hampir Ceraikan Isteri Kerana Jatuh Cinta Dengan Model AI
Seorang warga emas di China hampir menceraikan isterinya selepas jatuh cinta dengan model maya yang dihasilkan melalui kecerdasan buatan (AI).
Menurut laporan Beijing Daily, lelaki berusia 75 tahun dikenali sebagai Jiang itu mula berkenalan dengan avatar perempuan ciptaan AI ketika melayari media sosial.
Bagi mata manusia normal, avatar tersebut jelas merupakan rekaan komputer, namun bagi Jiang ia dianggap seorang gadis sebenar yang gemar berbual dengannya.
Malah, dia menjadi taasub dengan kekasih maya berkenaan sehingga ketika dimarahi isteri kerana terlalu lama menggunakan telefon, Jiang menyatakan hasrat untuk menceraikannya demi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada avatar tersebut.
Bagaimanapun, anak-anaknya berjaya menyedarkan Jiang dengan menerangkan fungsi serta realiti teknologi AI, sekali gus meyakinkannya bahawa wanita maya itu tidak wujud di dunia sebenar. – Agensi
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video