Penyanyi Zynakal mendedahkan yang dia pernah menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Namun, disebabkan tidak betah untuk menjalani rutin peringkat diploma pembelajaran selepas lima tahun bersekolah di sekolah asrama, dia mengambil keputusan untuk berhenti belajar.

“Pada awalnya rancang nak sambung di Aswara. Tetapi tak sempat kerana saya terlewat daftar dan hantar borang. Mak saya pula masih push saya untuk sambung, jadi saya memilih UiTM Shah Alam.

“Di sini bermulanya perjalanan ‘nakal’ saya. Ia terjadi sebab saya berada di sekolah asrama selama lima tahun. Ia seperti penjara kerana kami tidak terdedah dengan dunia luar, outing pun seminggu sekali pada hujung minggu.

“Jadi, saya macam dah penat belajar dan waktu itu, saya mahu guna otak (untuk hal lain) dan nak keluar (dari dunia pembelajaran). End up, tak boleh terus belajar,” katanya dalam satu wawancara menerusi saluran Youtube Borak Dengan Miro.

Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli, 24, menambah, selepas dia secara diam-diam, dia meninggalkan universiti tanpa memberitahu sesiapa.

“Saya memang tinggalkan universiti macam tu sahaja. Barang-barang seperti beg, baju, pomade semua saya tinggalkan dalam loker.

“Rakan sebilik call dan tanya saya kat mana, jadi saya beritahu dia yang saya dah habis belajar. Barang-barang yang saya tinggalkan tu mungkin boleh dijual kepada sesiapa yang berminat.

“Itu hal sebenar yang saya perlu korbankan. Anda perlu korbankan sesuatu untuk dapatkan sesuatu,” katanya lagi.

Bahagian wawancara berkenaan telah dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok dan ia tidak menerima maklumbalas yang positif dalam kalangan pengguna media sosial.

“Apa yang dia sacrifice ni?”

“Nak tanya, berjaya ke bulan ke dah?”

“Ingat semua, pelajaran tu penting.”

“Nanti budak-budak pun terikut-ikut.”

Sebelum ini, penyanyi lagu Sakit itu pernah mendedahkan yang dia pernah menderita gangguan bipolar mania pada penghujung 2019 akibat kecaman yang diterimanya di media sosial.

Susulan daripada itu, Zynakal menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur bagi memulihkan penyakitnya.