Hiburan
Zynakal Terkilan, Terasa Lagu Sakit Tidak Lolos ke Final AJL 35
Penyanyi Zynakal mengaku terkilan dan terasa apabila lagu Sakit ciptaan dan nyanyian bersama Yonnyboii, tidak mara ke peringkat final Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35).
“Saya boleh kata terasa. Ya lebih terasa daripada sedih.
“Kita terasa dengan industri sendiri. Ya kita terkilan, terasa tapi tak boleh nak rebel macam dulu dulu,” kata Zynakal yang ditemui Gempak tadi.
Zynakal juga menambah rasa terkilan itu menjadi sedih apabila ramai peminat yang menaruh harapan untuk Sakit pergi ke final tidak kesampaian.
Dia mengatakan seperti telah mengecewakan harapan ramai peminat.
“Memang ramai yang DM saya dan cakap tak patut Sakit tak masuk, tapi saya percaya mesti ada sebab," katanya.
Biar terkilan, penyanyi dan komposer berusia 22 tahun ini tetap menghormati keputusan sebulat suara yang telah dibuat oleh para juri.
“Saya terima kerana otai otai (juri) lebih mengetahui. Mereka ada asbab dan lebih berpengalaman,” katanya.
Meski demikian Zynakal mengaku tertanya tanya mengenai kriteria lagu bukan untuk pertandingan dan lagu popular seperti yang dikatakan oleh ketua juri, Azmeer.
“Itulah, saya terfikir juga. Lagi popular atau lagu untuk pertandingan. Tapi Sakit sudah sampai ke semi final.
“Namun tak apalah, mungkin ada rezeki lain Sakit di tempat lain,” katanya optimis.
Dia yang melancarkan muzik video single Perasaan hari ini juga mengatakan gagalnya Sakit menambat hati juri tidak mematahkan semangat untuk terus berkarya dan menerima pencalonan dalam mana mana anugerah muzik tempatan.
“Tak akan mematahkan semangat saya. So kita rileks saja," katanya sambil tersenyum.
Sebelum ini keputusan 12 lagu yang mara ke peringkat akhir AJL35 menjadi kontroversi kerana lagu Sakit yang dilihat mampu menjadi juara tidak lolos.
Selain Sakit, peminat dan orang industri juga kecewa kerana lagu Sumpah milik Naim Daniel tidak terpilih untuk berentap di pentas akhir AJL35 yang dijadual berlangsung pada Februari 2021 mendatang.
Must-Watch Video