Berita
Anis Al Idrus Tak Serik Bercinta Selepas Berpisah Dengan Raja Afiq
Pelakon Anis Al Idrus, 28, akui tidak serik bercinta lagi selepas berpisah dengan pelakon Raja Afiq baru-baru ini.
Malah Anis berkata kehidupannya kini bertambah bahagia selain sibuk dengan perniagaan serta mengacarakan program realiti Serambi Pencetus Ummah musim keempat (PU4).
"Alhamdulilah, kehidupan saya semakin baik dan lebih bahagia sekarang. Perniagaan saya juga semakin maju dan saya akan buka pejabat baru di Alam Avenue, Shah Alam bagi memudahkan urusan pernigaan saya iaitu Anis Wardrobe dan Anis Beauty.
"Terus-terang apa yang berlaku saya sudah tidak fikirkannya lagi. Malah saya tidak juga bermurung atau sedih kerana ia tidak memberi kesan langsung kepada diri saya.
"Apa yang berlaku juga tidak membuatkan saya tidak serik untuk bercinta lagi kerana jika tidak ia seperti menidakkan ketentuan Allah," katanya ketika ditemui Astro Gempak.
Selain perniagaannya sendiri, Anis kini memberi tumpuan penuh kepada PU4 yang bersiaran bersiaran pada setiap hari Selasa dan Rabu jam 9 malam menerusi saluran Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).
Meskipun pernah berdepan dengan episod luka bersama Raja Afiq, namun Anis memberitahu dia tidak menolak jika selepas ini memerlukannya untuk bergandingan dalam mana-mana projek termasuk lakonan.
"Saya akan terima apa sahaja tawaran meskipun ia melibatkan Raja Afiq kerana bagi saya kerja adalah kerja.
"Saya tetap akan profesional. Prinsip saya senang, iaitu saya pandang musuh pun saya boleh buat untung dan ia tidak memberi masalah pada diri saya," katanya lagi.
Pasangan ini menjalinkan hubungan cinta selama kira-kira lima bulan.
Raja Afiq dalam satu kenyataan pada sebuah akhbar sebelum ini mendedahkan hubungannya dengan Anis sudah putus sejak dua bulan lalu.
Teks oleh: Syafiqah Jalal