Skip to main content

Selebriti

"Jangan Rasa Kita Dah Berlakon Dari Kecil, Kita Dah Cukup Masak" - Sweet Qismina

Sweet qismina

Sekilas

  • Sweet Qismina berkongsi pengalaman menghadapi persepsi sukar terhadap pelakon kanak-kanak yang sukar berubah walaupun sudah dewasa.
  • Dia menyeru agar pelakon yang bermula sejak kecil diberi peluang dan ruang untuk belajar serta berkembang dalam pelbagai watak lakonan.
  • Sweet menasihatkan pelakon muda supaya sentiasa rendah diri dan terus belajar, sambil mendoakan rezeki dan kejayaan Mia Sara dalam bidang lakonan.

Pelakon, Sweet Qismina memahami perasaan yang dirasai oleh aktres, Mia Sara Nasuha selepas dia berkongsi luahan mengenai kesukaran untuk mengubah persepsi seseorang terhadap pelakon yang bermula sejak kecil.

Menerusi perkongsian di Instagram Story, Sweet berkata dia pernah alami situasi yang sama dan mengharapkan agar pelakon-pelakon seperti ini diberi lebih banyak peluang untuk menunjukkan bakat mereka dalam membawa watak yang berlainan.

"Ini perasaan sebenar saya dah ia ambil bertahun-tahun untuk dapatkan kepercayaan orang (sampai sekarang). Saya harap ramai orang akan cuba untuk terima mereka yang masih tersekat sebagai pelakon kanak-kanak.

"Kami tak dapat nak ubah size dan wajah muda kanak-kanak kami tetapi tanpa pengalaman dan peluang untuk melakonkan pelbagai watak, bagaimana kami ingin bertambah baik? Pengalaman mematangkan kita kan?

"Kalau boleh bagi rezeki dekat pelakon-pelakon baru dan bagi mereka belajar berlakon kat set, apa salahnya buat yang sama pada mereka yang dah berlakon sejak muda," tulisnya.

Dalam masa sama, pelakon filem Babah itu menasihatkan pelakon yang memulakan kerjaya sejak kecil agar tidak terlalu berbangga diri serta sentiasa bersedia untuk belajar dari bawah.

Dia turut mendoakan agar rezeki Mia terus dipermudahkan dan diperluaskan dalam bidang lakonan.

"Percaya dan beri peluang. Yang dah berlakon sejak kecil pula, kena mula dari kosong. Jadi padi, belajar untuk jadi yang terbaik. Jangan rasa kita dah berlakon dari kecil, kita dah cukup masak. Tidak, lakonan dewasa tak sama seperti kita kanak-kanak.

"Saya Pernah berada di situasi tersebut. Tak senang. Sampai sekarang saya masih kena belajar. Selebihnya, berserah pada Allah. Saya faham awak, Mia. Semoga Allah buka rezeki awak dan yang lain-lain," ujarnya.



Terdahulu, Mia Sara mencuri perhatian selepas berkongsi bahawa dirinya masih terhimpit dengan persespsi orang ramai yang menggangap dirinya masih seorang kanak-kanak meskipun usianya kini sudah mencecah 21 tahun.

Must-Watch Video

Advertisement