Berita
Penuhi Permintaan Peminat, Siti Nordiana Kembali Nyanyi Lagu Leman
Penyanyi Siti Nordiana Alias kembali menyanyikan lagu-lagu berentak pop 1990-an untuk memenuhi permintaan peminat.
Selepas menjuarai program GegarVaganza 2, percubaan wanita yang mesra dengan panggilan Nana itu untuk menyanyikan lagu yang lebih moden kurang diterima pelbagai pihak.
"Saya mencuba untuk tampil dengan lagu yang lebih moden seperti Pesanan Teragung. Ramai peminat yang gemarkan lagu tersebut, tetapi entah apa silapnya, lagu tersebut kurang mendapat perhatian.
"Ramai peminat yang mahukan saya untuk kembali menyanyikan lagu-lagu lama seperti lagu Memori Berkasih. Saya akui, lagu-lagu yang mempunyai rentak pop Melayu ala 1990-an itu sudah sebati dengan jiwa saya.
"Peminat juga mahukan saya menyanyikan lagu-lagu berirama 'leman' setiap kali persembahan," kata Nana kepada Astro Gempak.
Dalam perkembangan lain, Nana bakal muncul dengan sebuah single terbaru yang mendapat sentuhan tersendiri.
"Saya akan muncul dengan sebuah lagu baru yang mempunyai elemen pop 1990-an. Lagu tersebut merupakan lagu ciptaan saya sendiri.
"Lagu tersebut bakal menceritakan rasa dan pandangan saya mengenai cinta. Lagu tersebut bakal muncul menemui peminat tidak lama lagi. Saya berharap agar percubaan saya dalam bidang penciptaan lagu akan mendapat tempat di hati peminat," katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah MeleTop Era 2017 (AME 2017) pada Selasa.
AME 2017 bakal berlangsung pada 23 April ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Untuk mengundi selebriti kesayangan anda, jangan lupa untuk melayari laman web www.anugerahmeletopera.com.my!
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video