Sekilas
- Penganjur konsert The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun memilih Aina Abdul sebagai tetamu istimewa untuk beri kelainan dan elemen kejutan kepada penonton.
- Aina Abdul akan menyanyikan lagu zapin secara langsung buat pertama kali, menarik perhatian peminat dengan kekuatan fanbase dan vokalnya.
- Konsert ini akan berlangsung pada 25 April di Idea Live Arena, Petaling Jaya, menampilkan Senario bersama Aina Abdul dan anggota lain seperti Saiful Apek dan Lan Pet Pet.
Penganjur Konsert Mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun tampil menjelaskan mengapa pihaknya tidak memilih penyanyi, Heyda Hafeey sebagai pilihan utama tetamu istimewa bagi konsert tersebut yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Menurutnya, keputusan itu dibuat demi memberikan kelainan kepada penonton, memandangkan kumpulan Senario sebelum ini sering bekerjasama dengan Heyda.
"Heyda baru sahaja datang untuk busking bersama kami sebelum ini. Tetapi kami tidak mahu persembahan yang sama berulang kali. Kami mahukan kelainan supaya tidak timbul persepsi bahawa busking kami hanya tertumpu kepada Heyda sahaja,"katanya kepada Gempak.
Penganjur berkata demikian ketika sesi latihan Senario bersama Aina Abdul bagi konsert tersebut yang berlangsung di Sheroline Space pada Rabu.
Bagaimanapun, dia menegaskan pemilihan Aina Abdul sebagai pilihan pertama adalah bagi memberi elemen kejutan kepada peminat.
"Sebab itu, pemilihan Aina Abdul juga boleh dianggap sebagai satu kejutan buat peminat kerana ia bukan sesuatu yang dijangka oleh kebanyakan orang,"ujarnya.
Dalam masa sama, pihak penganjur turut berkata pemilihan Aina dibuat berdasarkan kekuatan 'fanbase' serta elemen kelainan yang dibawa termasuklah kali pertama Aina akan menyanyikan lagu zapin secara langsung di pentas.
"Pertama sekali, Aina Abdul mempunyai fanbase yang kuat dan tersendiri. Selain itu, pemilihannya juga membawa satu kelainan kerana ini merupakan kali pertama Aina akan menyanyikan lagu zapin secara langsung.
"Sebelum ini, belum pernah penonton melihat Aina mempersembahkan genre tersebut di pentas live, jadi ia pasti menjadi sesuatu yang dinanti-nantikan oleh peminat," jelasnya.
Mewakili kumpulan, Azlee berkata mereka berbesar hati dapat bekerjasama dengan Aina yang disifatkan sebagai antara nama besar dalam industri.
"Kita juga sedia maklum bahawa Aina Abdul adalah antara nama besar dalam industri seni tempatan. Jadi apabila digandingkan bersama, kami rasa sangat bertuah dan berharap dapat mencipta chemistry yang baik di atas pentas," katanya.
Dalam masa sama, Saiful Apek pula berkata perasaan teruja ingin bekerjasama dengan Aina mengingatkan mereka kepada kolaborasi bersama Allahyarham Adibah Noor sebelum ini.
"Sebelum ini, kami pernah berduet dengan Adibah Noor, yang juga merupakan nama besar pada waktu itu. Perasaan teruja dan berbesar hati itu tetap sama. Vokal Aina Abdul sememangnya tidak boleh dinafikan,"luahnya.
Sementara itu, Wahid berkata cabaran terbesar buat mereka adalah menyesuaikan vocal mereka dengan penyanyi professional tersebut.
"Kami amat menghargai kesediaannya untuk bekerjasama. Malah, dia sendiri sebenarnya sangat teruja dengan kolaborasi ini.
"Dalam masa sama, ia juga menjadi satu cabaran buat kami kerana kami tahu Aina mempunyai kekuatan vokal yang luar biasa dengan nada yang tinggi.
"Jadi, timbul juga persoalan sama ada kami mampu menyesuaikan diri dengan key tersebut. Namun, sebagai seorang penyanyi profesional, Aina tetap menjadi pilihan utama kami sejak awal lagi,"jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Azlee bersama anggota Senario lain iaitu Saiful Apek, Yassin Yahya, Lan Pet Pet, Pak Ya dan Wahid bakal membuat kemunculan dalam konsert mega The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun.
Konsert anjuran Dreamscape Events dan terbitan Kapla Entertainment tersebut dijadualkan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 25 April ini.