Skip to main content

Berita

Sambutan Hari Malaysia 2026 Peringkat Negeri Meriah, Angkat Mesej Perpaduan & MA63

Hari Malaysia Di Sabah

Sekilas

  • Sambutan Hari Malaysia 2026 di seluruh negeri berlangsung meriah dengan tema "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati" dan Sarawak dipilih sebagai lokasi penganjuran peringkat kebangsaan.
  • Ketua Menteri Sabah dan Pulau Pinang menekankan pentingnya mempertahankan hak negeri serta semangat perpaduan dan kerjasama dalam Persekutuan Malaysia.
  • Pelbagai aktiviti menarik diadakan di negeri seperti Program Jelajah Samudera di Perlis dan acara kebudayaan serta nyanyian artis di Pahang bagi memeriahkan sambutan.
Advertisement

Semangat patriotik seluruh rakyat terus disemarakkan menerusi pelbagai program pada Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat negeri yang berlangsung meriah di seluruh negara semalam.

 

Advertisement

Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan tahun ini pula menyaksikan Sarawak kembali dipilih sebagai lokasi penganjuran selepas kali terakhir menjadi tuan rumah acara berkenaan pada 2023.

 

Di SABAH, sambutan peringkat negeri berlangsung meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), disertai ribuan orang dengan kibaran Jalur Gemilang mewarnai suasana perhimpunan yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.

Advertisement

 

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapan disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata segala hak dan kepentingan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terus diperjuangkan dan direalisasikan melalui semangat kerjasama erat bersama Kerajaan Persekutuan.

 

Beliau berkata Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat untuk menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia terutama berkaitan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas penting membentuk hubungan antara Sabah dengan Persekutuan.

 

Hajiji berkata sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Sabah akan konsisten mempertahankan kepentingan dan hak Sabah melalui saluran Perlembagaan, rundingan dan kerjasama antara kerajaan.

 

“Kita percaya bahawa hubungan Persekutuan yang kukuh lahir daripada sikap saling menghormati, keadilan dan kesediaan menunaikan tanggungjawab yang telah dipersetujui. Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia. 

 

"Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati, setiap tanggungjawab dilaksanakan dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara Malaysia yang stabil dan makmur,” katanya.

 

Sementara itu, di PULAU PINANG, lebih 1,000 rakyat turut memeriahkan majlis Sambutan Hari Malaysia 2026 peringkat negeri di Dewan Millenium, Kepala Batas yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah.

 

Ketua Menteri Chow Kon Yeow ketika berucap pada majlis itu berkata semangat kebersamaan yang menjadi asas pembentukan Malaysia pada 16 Sept 1963 kekal relevan selepas 63 tahun khususnya dalam usaha memastikan kepelbagaian terus menjadi kekuatan negara.

 

"Kita boleh berbeza pandangan tetapi kita tidak perlu bermusuh, kita boleh berbeza pendirian, tetapi kita tetap boleh duduk semeja kerana akhirnya, kita berkongsi tanah air dan masa depan yang sama.

 

"Hari Malaysia bukan sekadar memperingati pembentukan negara, sebaliknya menjadi peringatan terhadap tanggungjawab semua pihak untuk terus memelihara dan membina Malaysia yang diwarisi bersama," katanya.

 

Sementara itu, di PERLIS, sambutan diraikan dengan penuh kelainan menerusi penganjuran sulung Program Jelajah Samudera di Pulau Batu Layang, Kuala Perlis yang melibatkan komuniti nelayan dan pelbagai agensi penguatkuasaan maritim.

 

Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata program yang menghimpunkan kira-kira 80 bot dan hampir 700 peserta itu bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat tempatan, di samping menonjolkan potensi keindahan pantai Pulau Batu Layang sebagai destinasi pelancongan baharu negeri.

 

"Kerajaan negeri akan berusaha meningkatkan penglibatan komuniti kampung dalam sambutan Hari Malaysia pada tahun hadapan supaya program berkenaan dapat berlangsung dengan lebih meriah," katanya.

 

Di PAHANG, sambutan Hari Malaysia peringkat negeri diadakan di Dataran Temerloh, Temerloh dalam suasana meriah dengan dihadiri kira-kira 7,000 pengunjung.

 

Antara acara mencuri tumpuan ialah aktiviti berjalan kaki dengan tema "Walk With Me", persembahan kebudayaan kaum dan nyanyian artis undangan antaranya Santesh, Nadeera dan Mus May.

 

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapannya menyeru rakyat agar menghayati makna sebenar Hari Malaysia yang disambut pada 16 Sept.

 

"Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa negara ini dibina atas semangat untuk hidup bersama, saling menghormati dan menerima kepelbagaian. Kita mungkin berbeza kaum, agama, budaya dan latar belakang, tetapi kita berkongsi satu negara dan satu masa depan," katanya.

 

Justeru, beliau berkata keamanan, kestabilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat perlu diutamakan dan menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menjaganya.

 

Sumber — BERNAMA

 

Anda mungkin berminat dengan

ADIDAS TRIONDA SPAIN AWAY CLUB FOOTBALL

ADIDAS TRIONDA SPAIN AWAY CLUB FOOTBALL

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

POP MART Angry Molly - Angry Energy Series Plush Pendant Blind Box

adidas Football Manchester United 25/26 Third Jersey Men Black KD4225

adidas Football Manchester United 25/26 Third Jersey Men Black KD4225

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football Argentina 26 Away Jersey Men Black JM8395

adidas Football AFA ARGENTINA BACKPACK Unisex Blue KE1386

adidas Football AFA ARGENTINA BACKPACK Unisex Blue KE1386

adidas Football Arsenal 25/26 Home Authentic Jersey Men Red JI9516

adidas Football Arsenal 25/26 Home Authentic Jersey Men Red JI9516

Must Watch Video

Advertisement