Berita
"Saya Tak Ambil Hati Dengan Komen Kak Ogy" - Noryn Aziz
Juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Noryn Aziz tidak mengambil hati dengan komen yang dilemparkan oleh pelakon prolifik berbakat besar, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Kak Ogy.
"Sejujurnya, saya tak ambil hati langsung dengan komen Kak Ogy. Saya tak terasa pun.
"Saya pernah belajar dengan Kak Ogy dan saya tahu dia seorang individu yang sangat mengambil berat mengenai persembahan.
"Saya hormati dia kerana dia primadona kita semua. Persembahan dan lakonan Kak Ogy sendiri, siapa yang boleh sangkal? She is the only one," kata Noryn.
Dalam pada itu, Noryn juga mendedahkan dia ada berhubung dengan Kak Ogy dan mendapatkan tips daripada aktres itu.
"Bukannya saya cakap dia boleh cakap apa-apa, tetapi saya menghormati pendapat dia dan sebenarnya, kami ada berhubung.
"Dia banyak memberikan saya tips dan bekalan, bagaimana saya mahu mempersembahkan sesebuah lagu. Bukan sekadar menyanyi, tetapi perlu ada jiwa, perlu ada karakter.
"Ketika dia memberikan komen kepada saya sewaktu minggu separuh akhir pun, kami ada berhubung dan masing-masing tergelak sahaja.
"Antara kami memang tiada apa-apa masalah dan saya tak mahu membesarkan perkara ini. Saya hanya mahu memberikan tumpuan kepada GV5 sahaja. Saya sangat menghormati Kak Ogy," kata Noryn lagi.
Menewaskan lima peserta lain, Noryn membawakan lagu Laskar Cinta di segmen duet bersama Awi Rafael serta menyanyikan lagu rap Where is The Love bersama Dia Fadila di segmen battle.
Noryn berjaya merangkul wang tunai RM100,000 tajaan Astro, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan piala Gegar Vaganza.
GV5 telah bersiaran selama lapan minggu secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.
Must-Watch Video