Berita
"Setiap Minggu Saya Tak Tidur Sampai Jam 5 Pagi" - Ungguli GV5, Noryn Aziz Rasa Macam Dalam Mimpi
Penyanyi Noryn Aziz tidak pernah menaruh harapan untuk bergelar juara Gegar Vaganza musim kelima (GV5).
Menewaskan lima finalis lain, Noryn mengungguli pemarkahan GV5 yang diberikan oleh Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim selaku juri tetap dan Datuk DJ Dave dan Joe Flizzow sebagai juri undangan.
"Sejujurnya, saya tak sangka saya juara! Rasa macam dalam mimpi... Semua finalis memberikan persembahan terbaik dan kami juga bersaing dengan begitu sengit.
"Masing-masing ada kelebihan tersendiri dan saya belajar dari semua finalis. Dalam pertandingan ini, saya hanya mahu mencuba untuk menjejakkan kaki ke peringkat akhir.
Advertisement
"Setiap Isnin selepas konsert mingguan GV5 selesai, saya mempunyai masalah untuk tidur.
"Setiap minggu, saya tak tidur sampai jam 5 pagi kerana mahu mengkaji balik persembahan yang saya sudah lakukan, apa yang lebih apa yang kurang," kata Noryn.
Penyanyi ini juga menjadikan komen dari juri sebagai penguat semangat untuk dirinya berjaya.
"Saban minggu, saya kaji balik komen juri terutamanya dari juri tetap kerana saya mahu memperbaiki diri. Lain rasanya menyanyi di hadapan juri kerana mereka melihat kita dari segenap aspek.
"Saya memandang GV5 sebagai landasan untuk kembali aktif di persada nyanyian. Cinta pertama saya adalah bidang muzik dan rugi jika saya tidak menggunakan platform ini untuk kembali memeriahkan industri," katanya lagi.
Noryn membawakan lagu Laskar Cinta di segmen duet bersama Awi Rafael serta menyanyikan lagu rap Where is The Love bersama Dia Fadila di segmen battle.
Noryn berjaya merangkul wang tunai RM100,000 tajaan Astro, penginapan di Royal Chulan Hotel & Resort dan piala Gegar Vaganza.
GV5 telah bersiaran selama lapan minggu secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.
Must-Watch Video