Desas-desus mengenai kehidupan peribadi pelakon popular Nora Danish kembali menjadi perhatian apabila timbul spekulasi kononnya aktres itu kini sedang hangat bercinta dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Mickey Ayo.
Perkara tersebut mula menjadi topik bualan netizen selepas peminat mengorek latar belakang lelaki berkenaan yang dikatakan berstatus duda, mempunyai dua cahaya mata serta bekerja sebagai seorang perunding kewangan berjaya.
Advertisement
“Saya datang dari masa depan. Hadir kerana N (Nora Danish). Kalau memang betul, memang gembira saya sebagai peminat beliau,” antara komen yang ditinggalkan peminat di Instagram lelaki tersebut.
Spekulasi mula tercetus apabila Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd. Danish Hanif, 43, berkongsi foto seorang lelaki berkopiah yang hanya menampakkan sebahagian wajah di Instagram miliknya baru-baru ini.

Namun, ketika dihubungi Kosmo! Online, Nora menjelaskan apa yang dikongsikannya di media sosial masih terlalu awal untuk dijadikan isu besar.
“Terima kasih mendoakan. Tapi, masih jauh lagi perjalanan ini. Tiada maksud apa-apa pun gambar itu,” katanya ringkas menerusi WhatsApp.
Hasil tinjauan mendapati gambar lelaki berkopiah yang dimuat naik Nora seakan sama dengan foto yang turut dikongsikan oleh lelaki berkenaan di Instagramnya.
Malah, Nora juga dilihat kerap meninggalkan tanda suka pada hantaran lelaki itu sehingga menguatkan lagi andaian peminat bahawa hubungan mereka lebih daripada sekadar kenalan biasa.
Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum berpisah pada 19 Jun 2024. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamed Neqayl, 7.
Terdahulu, Nora juga pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan bercerai pada 10 Julai 2008. Hasil perkahwinan tersebut, mereka mempunyai seorang anak lelaki, Putra Rayqal yang kini berusia 17 tahun.