Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Saya Buat Lagu Tu Khas Untuk Arwah Dan Tak Akan Beri Pada Penyanyi Lain” - Ajai Siap Buat Lagu Untuk Sandra Dianne

Azwa Rahman
15/09/2020 03:14 MYT
Juri tetap Big Stage 2020 (BS2020) Ajai mendedahkan dia telah menyiapkan sebuah lagu berentak balada khas buat Allahyarham Sandra Dianne namun tidak kesampaian dinyanyikan oleh penyanyi itu.

Menurut Ajai atau nama sebenarnya Mohd Faizal Maas, 44, lagu berjudul Biarkan Ia Berlalu itu sudah dicipta sejak tahun lalu namun perancangan tersebut tidak dapat diteruskan berikutan pertukaran pengurusan arwah.

"Saya ada cipta lagu untuk arwah Sandra pada tahun lalu... lagu itu genre belada. Sepatutnya dah ada persetujuan dengan pihak pengurusannya sekekarang tapi ketika itu ada pertukaran pengurusan.

"Ada banyak benda yang berlaku, kelam kabut. Perancangan itu pun senyap begitu saja. Lagu itu tidak boleh diberikan kepada orang lain sebab bila saya buat lagu memang khas untuk orang itu.

"Jadi, saya simpan saja lagu itu. Masih working title tapi saya akan guna saja tajuk yang dah ada iaitu Biarkan Ia Berlalu. Cuma saya tak ada rezeki nak rakam dengan dia,” kata Ajai kepada Gempak.

Ajai ditemui selepas konsert BS2020 Tribute #SandraDalamKenangan yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada Ahad.

Tambahnya lagi, dia tidak akan memberikan lagu tersebut kepada penyanyi lagi memandangkan lagu tersebut dicipta khas mengikut kesesuaian nada suara Allahyarham yang unik.

"Arwah ada keunikan tone suara dan tidak semua lagu boleh sesuai dengan suara dia. Kita kena custom made untuk dia dan kena betul-betul ikut tone dia,” ulas Ajai.

Dalam pada itu, Ajai turut berharap lapan orang peserta Big Stage 2020 yang akan berentap dalam minggu suku akhir pada Ahad depan terus kuat menghadapi cabaran dari segi mental dan fizikal.

"Mereka semua kena move on. Sebab kembali ke pertandingan, benda ini mesti kena habiskan. Sebab apa yang berlaku, di luar jangkaan kita dan ia qada dan qadar.

"Jadi, mereka kena kuat. Dekat sini la bermula cabaran melibatkan mental dan fizikal. Ambil semangat arwah untuk teruskan perjuangan," jelasnya lagi.

Konsert BS2020 minggu kelima yang sepatutnya berlangsung pada Ahad digantikan dengan konsert tribute istimewa untuk arwah Sandra.

Lapan peserta iaitu Usop, Azzam Sham, Qody Rani, Fadh Majid, Nana Sheme, Farisha Iris, Hafiz Zainal dan Dinie Rashid akan mara ke peringkat suku akhir pada Ahad depan.



#Ajai #Sandra Dianne #Big Stage 2020