,
Big Stage 2023

#BIGSTAGE5: Penuh Kejutan! Elly Mazlein Jadi Pengacara & Aina Abdul Juri Tetap… Naufal, Nadeera, Dem Lepak Boyz, COEX Antara Peserta Yang Bersaing

Asyikin Mayudin
11/04/2023
11:07 MYT
Program realiti yang menampilkan peserta muda berbakat iaitu Big Stage 5 kini kembali mendominasi pentas bermula 7 Mei depan, setiap Ahad bersiaran langsung selama 10 minggu di Auditorium MBSA, Shah Alam.
Rancangan pertandingan nyanyian yang menampilkan bakat-bakat generasi muda ini bakal diriuhkan dengan kekuatan vokal dan saingan yang kompetitif oleh barisan pesertanya yang hebat.
Namun edisi kelima kali ini bukan sahaja membawa peserta-peserta yang berbakat dalam bidang nyanyian tetapi turut membawa variasi dari segi karier seni mereka lantas menjadikan mereka saingan yang kuat dalam pertandingan ini dengan elemen dan genre yang baharu.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, pelbagai pembaharuan yang dilakukan antaranya barisan juri, pengacara dan pemilihan peserta.
“Pembaharuan turut melihat kami memilih hos baharu yang kaya dengan pengalaman dalam mengemudi acara-acara gah. Kak Lina Pom Pom ternyata unggul dengan membuktikan bahawa dia adalah hos spontaneous dan lincah ketika mengemudi acara-acara besar.
“Barisan juri turut melihat muka-muka baharu. Aina Abdul, antara penyanyi yang menjadi aspirasi untuk bakat-bakat muda, menggalas tugasan menjuri perserta-peserta muda. Dia adalah ikon, dan pastinya kata-kata memberangsangkan mereka untuk menjadi hebat lagi,” katanya.
Nama-nama yang dipilih untuk beraksi di pentas Big Stage 5 ini merupakan antara bakat muda yang kian meningkat serta telah mendapat perhatian ramai dengan kebolehan dan pencapaian yang diperoleh.
Ada di antara mereka yang memenangi anugerah prestij, calon-calon kepada anugerah yang hebat, popular di peringkat antarabangsa, memenangi pertandingan nyanyian popular, versatil dalam bidang muzik serta penyanyi runut bunyi yang terkenal.
Antara yang akan bersaing dalam Big Stage 5 adalah Isaac Voo, Firdaus Rahmat, Meer Nash, Naufal Azrin, Aufahanie, Puteri Khareeza, Putera Muhammad, Nadeera Zaini, Dem Lepak Boyz (Duo) serta kumpulan M-pop perempuan, COEX yang terdiri daripada Mikaela Qistina, Amy Loh, Dalini, Eyqa Shahidan dan Elysha Khan.
Seramai sepuluh daripada mereka telah dipilih daripada Malaysia manakala empat bintang lain yang turut tersenarai adalah peserta daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Korea Selatan yang akan diperkenalkan pada konsert minggu pertama kelak.
Buat julung kalinya, rancangan ‘Big Stage’ menampilkan peserta berkumpulan dan duo sebagai bintang yang akan bersaing bersama di atas pentas untuk memberi lebih ruang kreativiti dan versatiliti dalam setiap persembahan bagi merebut gelaran sebagai ‘Juara’ buat edisi terbaharu ini.
Big Stage musim baharu bakal gegarkan industri muzik tanah air dengan muka-muka baharu yang bakal mengemudi rancangan tersohor negara. Kak Lina Pom Pom bakal menggalas tugasan hos.
Manakala bangku juri tetap turut dirombak dengan pengenalan Aina Abdul sebagai juri tetap. Seorang juri lagi akan diperkenalkan di konsert minggu pertama.
Big Stage, sebuah rancangan pertandingan nyanyian yang didominasi oleh bakat-bakat muda kini kembali dengan edisi kelimanya, membawa generasi ‘Budak Baru Nak Up’ atau lebih dikenali sebagai ‘BBNU’ ke pentas realiti yang lebih kompetitif.
Rancangan ini amat dikenali dengan melahirkan bintang-bintang muda yang mempunyai kemahiran nyanyian luar biasa sehingga meraih perhatian di pelbagai platform media sosial mahupun dalam industri nyanyian.
Pertandingan Big Stage telah menobatkan empat juara sepanjang penganjurannya yang terdiri daripada Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan Elica Paujin (2022).
Big Stage 5 masih mengekalkan format asal penjurian yang terbahagi kepada dua bahagian. Persembahan mereka akan diadili 100% daripada pemarkahan oleh barisan panel juri yang akan dilakukan secara langsung di skrin LED untuk tontonan umum.
Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian kedua yang ditentukan berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi www.gempak.com/bigstage serta menerusi aplikasi SYOK.
Bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan. Namun, barisan panel juri mempunyai peluang untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai peserta yang tersingkir selepas penyingkiran dilakukan dalam segmen eksklusif selepas konsert utama.
Juara Big Stage 5 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro. Manakala tempat kedua dan ketiga akan membawa pulang RM30,000 dan RM25,000 beserta trofi, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM15,000, RM5,000 dan RM5,000 beserta trofi.
Selain itu, penerbitan Big Stage 5 disokong oleh Wawa Cosmetics selaku Penaja Utama dengan kerjasama Adabi.
Penganjuran edisi kelima ini turut dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Gempak selaku Rakan Digital serta ERA sebagai Rakan Radio Rasmi.
Big Stage 5 juga turut mengeluarkan lagu tema rancangan, istimewa buat edisi terbaharu ini yang berjudul Big Stage buat julung kalinya.
Lagu yang bergenre pop dan futuristik ini diterbitkan oleh PERSATUAN serta digubah oleh Shazee Ishak dan Audi Mok daripada Replay Music Sdn Bhd yang akan dinyanyikan oleh semua barisan peserta Big Stage 5.
Big Stage 5 akan bersiaran mulai 7 Mei, setiap Ahad, pukul 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104).
Untuk pilihan lebih fleksibel, ia boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.
Saksikan Buzz Big Stage yang menampilkan kandungan eksklusif post-live show bersama barisan panel juri yang akan berdiskusi dan menyuarakan pendapat mereka mengenai penyingkiran para peserta pada setiap minggu selama 30 minit sejurus selepas konsert utama.
Kompilasi sorotan cabaran dan persediaan para peserta menjelang konsert mingguan boleh disaksikan menerusi Studio Big Stage selama 30 minit pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam.
Manakala klip-klip sedutan belakang tabir setiap persembahan mingguan boleh ditonton menerusi Backstage Big Stage pada setiap hari Jumaat, jam 9.00 malam. Bintang Big Stage musim keempat, Aisha Retno bakal tampil sebagai hos kedua-dua program.
Istimewa menjelang Big Stage musim kelima, sebuah program khas yang memaparkan barisan peserta Big Stage 5 buat pertama kalinya di kaca TV bakal ditayangkan Syawal nanti iaitu pada 29 April & 30 Jun.
Big Stage Bootcamp adalah sebuah program yang akan memaparkan sesi latihan intensif para peserta sebelum bermula konsert mereka di pentas Big Stage nanti.
Setiap latihan serta cabaran adalah berkait dengan pertandingan Big Stage serta pengalaman yang bakal mereka hadapi dalam industri hiburan.
Para peserta akan ditempatkan di sebuah rumah besar bergelar The Big House dan di situ jugalah mereka akan belajar dan menerima cabaran-cabaran yang akan menyerlahkan lagi karakter mereka kepada penonton.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Hiburan

Aina Abdul Janji Semua Boleh Duduk - "Saya Mahu Peminat Benar-Benar..."

gempak
22/11/2024
21:02 MYT
Penyanyi dan komposer berbakat besar, Aina Abdul yang bakal mengadakan konsert Aina Abdul Imaji Tour di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Disember ini akan dinaik taraf menjadi acara tempat duduk sepenuhnya.
Hiburan

Lebar Sayap Ke Indonesia, Aina Abdul Tidak Mengalah

gempak
20/11/2024
04:55 MYT
Namun menurut pelantun lagu Terus Hidup itu, peluang untuk mencipta nama dan dikenali oleh peminat luar negara adalah bergantung kepada rezeki.
Hiburan

Luar Biasa! M Nasir, Sheila Majid, Misha Omar, Aina Abdul & Amir Jahari Jentik Emosi Peminat Di Konsert Amal MPO: Resonance For A Reason

gempak
19/11/2024
15:52 MYT
Dengan kehadiran lebih 900 penonton, ternyata penganjuran Konsert Amal Orkestra Filharmonik Malaysia, MPO Benefit Concert: Resonance for a Reason berjaya menambat hati peminat.
Hiburan

Aina Abdul Bangga Siti Nurhaliza Digelar Biduanita Negara - “Saya Sangat Gembira Untuk Beliau”

gempak
16/11/2024
12:25 MYT
Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa bangga atas penganugerahan Biduanita Negara ke atas penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Hiburan

Puas Sudah, Aura, Hening Rindu, Terus Bersinar Layak Ke AJL39! Jom Semak Senarai Penuh Peserta

gempak
15/11/2024
15:46 MYT
10 lagu yang menempatkan diri ke AJL39 adalah lagu Sengaja nyanyian Amir Masdi, Puas Sudah nyanyian Aina Abdul, Aura nyanyian Ernie Zakri, Terus Bersinar nyanyian Hafiz Suip.
Unitar