Big Stage S4
"Fokus Pada Bisnes Lupakan Glamor" - Netizen Tiup Kata-Kata Semangat Buat Iqbal Lepas Tersingkir Big Stage 2022
Penyingkiran Iqbal Zulkefli pada konsert kedua Big Stage malam tadi seolah-olah menepati ramalan ramai.
Masakan tidak, sejak diumumkan minggu lalu pelbagai reaksi muncul daripada netizen sementelah penggiat industri sendiri; kebanyakannya kurang bersetuju.
Meskipun tersingkir, netizen kembali semula ke laman sosial Instagram Iqbal untuk menitipkan kata-kata semangat buatnya agar tidak menjadikan tohmahan dan cacian sebagai penghancur impiannya.
Nasihat netizen pula agar Iqbal memberikan fokus kepada bidang yang sedia asal diusahakan sebelum ini iaitu bisnes.
"Fokus pada bisnes, lupakan dunia glamor. Stop jadi bahan permainan orang, cari kebahagiaan dengan mendekati Allah. Jangan cemari dunia mudamu dengan perkara lagha, guna kekayaan yang Allah bagi untuk ibadah bukan duniawi semata-mata," tulis @asrina_mp.
"Bakat dalam berniaga, jangan bazirkan duit buat lagu. Respect Bal tabah dengan kecaman netizen," tambah @rindiani_48.
"Mental you sangat kuar, dikeji dicaci tetap you stay strong," kata @sojambu pula.
"Awak sebenarnya berani tanpa mengundurkan diri, syabas. Asal lagi nyanyian kau mana tau boleh jadi penyanyi yang hebat nanti, tiada yang mustahil," kata @fatieaziz.
"Orang berjaya sentiasa berfikiran terbuka. Akan selalu ada hikmah di sebalik semua kejadian dan ujian," tulis pengguna lain pula.
Iqbal yang menyanyikan lagu Ketahuan (Matta Band) mendapat peratusan markah terendah dari barisan juri sekali gus menempatkannya berada di kedudukan terbawah dan tersingkir sama sekali.
Bagi menyuntik pembaharuan segar agar, buat pertama kalinya proses pemberian markah oleh panel juri akan dibuat secara langsung atau ‘live marking’ yang mana setiap pemarkahan akan tertera di skrin LED untuk tontonan umum.
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjurikan Big Stage 2022 bersama komposer terkenal, Ajai dengan juri juara undangan ialah Aina Abdul.
Manakala kerusi juri pedas dan presiden netizen pula masih diisi oleh penyanyi Mas Idayu dan usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida pada minggu ini.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad, tugasan mengacara bagi kapsul Studio Big Stage pula disandang oleh Isha Norsham.
Sementara itu, personaliti ERA, Muna Bella dan Haiqal dari Thinker Studios pula digandingkan sebagai pengacara untuk program Big Stage Live Plus yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Penerbitan Big Stage 2022 turut disokong oleh CUCKOO dan OPPO selaku Penaja Utama. Portal Gempak dan aplikasi SYOK turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA pula hadir sebagai Radio Rasmi.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi. Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong yang mana masing- masing bakal membawa pulang RM15 ribu, RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.
Rangkaian program Big Stage 2022 diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan dipancarkan secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) mulai 6 Februari serta turut boleh turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
11 peserta yang bertanding untuk minggu seterusnya ialah Tuah Adzmi, Aisha Retno, Yazmin Aziz, Daniel Chuer, Elica Paujin, Lia Aziz, Megat Rahim, Sofiaa dan Ajoi Zainal.
Terdahulu, penyanyi Sarah Suhairi berjaya merangkul gelaran juara sewaktu penganjuran musim pertama (2018). Bintang Korea Selatan, Han Byul muncul sebagai juara musim kedua (2019). Manakala Azzam Sham pula diangkat sebagai juara musim ketiga (2020).
Must-Watch Video