Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

“Alhamdulillah…Setakat Ni Dah 3,500 Faceshields Dihantar Kepada Frontliners!” – Che Mat Raja Lawak

Fiza Kamarudin
14/04/2020 05:45 MYT
Pelawak Che Mat mengucapkan rasa syukurnya kerana berjaya menyiapkan 1,000 pelindung muka untuk diberikan kepada petugas barisan hadapan negara.

Che Mat ketika dihubungi Gempak berkata dia mula menghasilkan pelindung muka selepas melihat abang ipar membuatnya bersama isteri.

“Abang ipar saya dan isteri dia buat pelindung muka dengan persatuan penduduk dia. Dan lepas itu isteri saya bagitahu, kenapa kita tak buat benda sama?

“Ini saja cara kita ada untuk membantu wira negara yang tengah berdepan dengan COVID-19 di luar sana.

“Jadi saya pun memuat naik tentang itu di Instagram dan Facebook. Ramai pula yang memberi maklum balas memerlukan pelindung muka,” katanya.

Bagaimanapun kata Che Mat, dia tidak mempunyai modal yang banyak untuk membeli barang keperluan menghasilkan pelindung muka.

Tetapi rakan-rakan selebriti seperti Zizan Razak, Vicha Barbie, Zain Saidin, Yayasan Insyirah Coway TTDI dan pengarah Fadzil Teh tampil membantu.

“Terima kasih kepada yang bermurah hati dan menghulurkan bantuan kepada kami. Dengan hasil sumbangan mereka itu dapatlah kami menghasilkan pelindung muka ini kepada frontliners semua.

“Setakat ini sudah 3,500 pelindung muka dihantar,” katanya.

Dalam pada itu sekiranya ada yang berminat untuk memberikan sumbangan kepada dana pelindung muka ini boleh menghubungi Che Mat di talian 011 5500 9184 atau Ayip di talian 012 2012513.

#COVID-19 #Che Mat #Face Shields