Covid-19
Atu & Isteri Dikuarantin, Tangguh Hantar PPE dan Bantuan Aidilfitri Ke Sabah
Pelawak Atu dan isteri kini menjalani kuarantin di rumah selepas melakukan pemeriksaan saringan COVID-19 pada 4 Mei lalu.
Atu ketika dihubungi Gempak berkata, dia dan isteri Shafeeqa Johari bagaimanapun disahkan negatif wabak tersebut.
“Sebenarnya saya dan isteri pergi melakukan saringan kerana mengikut prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kami diarahkan berbuat demikian kerana mahu balik ke Sabah untuk menghantar Peralatan Perlindungan Diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan (kesihatan) di sana.“Hari ini sudah sembilan hari kami kuarantinkan diri di rumah, tempoh tamat kuarantin akan tamat pada 17 Mei ini,” katanya.
Selain menghantar bekalan PPE kepada petugas kesihatan di Hospital Kudat, Atu dan isteri juga telah merancang untuk memberi bantuan asas Aidilfitri kepada penduduk setempat.
“Saya dan isteri akan pulang ke Sabah pada 20 Mei ini. Apa yang kami rancangkan ialah selepas selesai urusan menghantar PPE, kami akan menghantar bantuan asas hari raya kepada penduduk sekitar Kudat.
“Untuk urusan pengagihan bantuan hari raya tu nanti abang-abang saya Saiful dan Sharif akan bantu.
“Doakan apa yang kami rancangkan ini berjaya dan dipermudahkan,” katanya.
Bagaimanapun kata Atu, dia berat hati untuk meninggalkan dua cahaya matanya iaitu Dayang Sumayyah, 4, dan Sharif Salahuddin, 1.
“Berat hati nak tinggal anak-anak sebab kami tak pernah berjauhan lama-lama macam ni. Tapi tak apalah bapak dan ibu ada misi nak diselesaikan.
"Memang lama juga kami terpaksa tinggalkan Sumayyah dan Hud kerana sebelum pulang ke Kuala Lumpur, kami perlu menjalani kuarantin selama dua minggu lagi,” katanya positif.
Must-Watch Video