Covid-19
#Belasungkawa: Terakhir Buat Teman Lagu Terakhir Siti Sarah, Mahu Rahsiakan Ibadah Korban Di Gaza Dan Coleteh Yang Dirindui
Dunia industri hiburan hari ini dikejutkan dengan pemergian bintang kesayangan ramai, Siti Sarah Raisuddin yang menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi tadi.
Cukup dikenali menerusi lagu berjudul Kesetiaan, Sarah sememangnya memiliki personaliti yang menyenangkan.
Keletahnya yang bersahaja, lucu dan gemar ketawa menjadikan isteri kepada pelawak Shuib Sepahtu disayangi peminat dan rakan-rakan.
Sudah pasti keletah Sarah yang ceria, suka mengusik dan ketawa itu pasti sangat dirindui oleh sahabat-sahabat Allahyarham.
Berikut merupakan fakta dan trivia mengenai Siti sarah:
1. Siti Sarah Raisuddin dilahirkan pada 15 September 1984 dan memulakan kerjayanya dalam bidang seni selepas berjaya menjadi peserta akhir untuk Bintang RTM pada tahun 2001.
2. Sarah pernah menyertai pertandingan reality, One in a Million musim kedua dan berjaya menduduki tempat ketiga.
3. Pada tahun 2009, Sarah menyertai pertandingan antarabangsa iaitu World Championship of Performance Arts (WCOPA) dan menyumbang tiga emas kepada negara.
4. Antara anugerah yang diterima Sarah adalah Artis Baru Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM 2003).
5. Sarah juga mendapat satu lagi pengiktirafan untuk Anugerah Planet Muzik 2003 (APM2003) dalam kategori Artis Baru Wanita Terbaik. Menariknya lagi, Sarah merupakan satu-satunya artis baru yang turut tercalon dalam kategori Artis Wanita Terbaik dimenangi oleh Datuk Siti Nurhaliza pada tahun tersebut.
6. Sarah kemudiannya menyertai program realiti TV popular Gegar Vaganza 3 pada tahun 2016 dan dinobatkan sebagai naib juara.
7. Selain aktif menyanyi, Sarah juga merupakan seorang yang suka bersedekah. Antara yang mendedahkan perkara ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menerusi akaun Facebook.
Menurut Nadir, dia sendiri dihubungi arwah untuk menyertai ibadah korban di Gaza sempena sambutan Aidiladha, Julai lalu. Bagaimanapun menurut Nadir, Sarah seboleh-bolehnya mahu merahsiakan ibadah korban di Gaza.
Nadir juga memaklumkan, Sarah kerap berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan saudara Islam di bumi Palestin.
8. Sarah mendirikan rumah tangga bersama Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra, Ariq Matin dan Ayyash Affan.
9. Terakhir Buat Teman merupakan lagu terakhir Sarah yang ditulis oleh Iman Imran dan dinyanyikan oleh Sarah bersama Hazama. Lagu tersebut merupakan lagu istimewa buat beberapa rakan industri yang telah tiada. Manakala lagu berjudul Semakin Benci Semakin Cinta menjadi lagu terakhir Sarah bersama Shuib.
BACA: Selepas 9 Tahun, Siti Sarah & Shuib Kembali Berduet! – “Lagu Ni Dah Rakam Sejak PKPB Pertama Lagi…”
10. Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19. Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
11. Pada 6 Ogos 2021, Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selepas tahap oksigen menurun. Sarah kemudiannya terpaksa ditidurkan untuk melahirkan bayi lelaki yang diberi nama Ayyash Affan melalui pembedahan pada jam 5 petang Jumaat lalu.
12. Ibu kepada empat cahaya mata itu berada dalam keadaan koma dan bertarung nyawa akibat COVID-19 selepas lebih 48 jam ditidurkan.
BACA: Lebih 42 Jam Tak Sedarkan Diri, Siti Sarah Ditiarapkan Selepas Lahirkan Bayi Secara Pembedahan
13. Pada tanggal 9 Ogos 2021, Sarah menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.13 pagi selepas empat hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM), Kuala Lumpur.
Al-Fatihah....