Covid-19

COVID-19: Anak Yatim & Asnaf RPWP Buat PPE Untuk 'Frontliners'

gempak
Zulaikha Yusof
06/04/2020
04:46 MYT
Sponsor Banner
COVID-19: Anak Yatim & Asnaf RPWP Buat PPE Untuk 'Frontliners'
Apabila kebanyakan hospital di seluruh negara mengalami kekurangan sumber peralatan perlindungan diri (PPE) yang wajib digunakan oleh semua petugas barisan hadapan ketika mengendalikan kes melibatkan wabak COVID-19, masih ada beberapa pihak yang komited membantu mereka mengatasi isu ini.
Lebih menyedihkan, ada petugas hospital yang terpaksa menjahit sendiri PPE selain ada yang menggunakan plastik serta beg sampah sebagai perlindungan diri.
Menyedari perjuangan mengekang COVID-19 secara tidak langsung menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini, sebuah gerakan dilancarkan oleh sekumpulan anak yatim dan asnaf di Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), Kajang, Selangor bagi memanfaatkan masa lapang susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan pada 17 Mac lalu.
Inisiatif berkenaan menumpukan kepada pembuatan PPE seperti pelindung muka (visor), topeng muka (mask), coverall, gaun bedah, tudung kepala dan lain-lain untuk memenuhi permintaan yang amat tinggi oleh barisan hadapan negara yang sedang mendepani COVID-19.
Kira-kira 120 warga RPWP menyumbangkan tenaga dan masa mereka dengan sasaran menghasilkan sehingga 3,000 unit pelindung muka sehari.
"Projek ini bermula dengan panggilan seorang doktor perubatan dari sebuah NGO yang terlibat membantu tugas barisan hadapan pada jam 1 pagi. Bekalan PPE sudah amat meruncing.
"Para doktor sudah sampai ke tahap menggunakan plastik sampah dan apron pakai buang tukang masak untuk melindungi diri. Ramai juga barisan hadapan yang telah dijangkiti," kata Pengasas Bersama RPWP, Saiful Nang.
Disebabkan permintaan yang sangat tinggi dan mendesak rentetan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh dunia, maka proses pengimportan barangan memakan masa yang lama.
"Malam itu juga gerakan ini dilancarkan dan alhamdulillah 2,000 unit yang diminta dapat disiapkan dalam masa dua hari namun habis diedarkan kepada barisan hadapan tidak sampai satu hari," ujarnya.
Difahamkan, jumlah pengeluaran PPE telah melonjak kepada 3,000 unit sehari. Penghasilan dilakukan sepenuhnya di rumah kebajikan asnaf dan anak yatim RPWP di Sungai Ramal Baru tanpa melanggar PKP yang telah ditetapkan. Proses pembuatan secara Do-It-Yourself (DIY) tidak semestinya secara sambil lewa sebaliknya ia menuruti kaedah pembuatan yang diperakui sebagai amalan pengeluaran yang baik (good manufacturing practice - GMP). Sehubungan itu, kebersihan dan pengawalan kualiti produk turut diutamakan.
Malah, bahan-bahan yang digunakan adalah dua kali ganda lebih tebal dan kukuh berbanding di pasaran yang ditempah khas dari kilang. "Anak-anak RPWP sangat gembira dengan aktiviti begini. Di samping dapat mengisi masa lapang di rumah ini, kerja tangan mereka turut berperanan sebagai barisan sokongan kepada wira-wira negara di barisan hadapan.
"Lebih-lebih lagi, projek ini dapat memberikan pendedahan pendidikan dan pengalaman kepada mereka dalam bidang pembuatan dan pengilangan," tambahnya lagi.
Projek Pelangi PPE ini menyasarkan sejumlah minimum 100,000 unit. Kini mereka telahpun berjaya menghasilkan sebanyak 15,000 unit. Sumbangan dari orang awam mampu menggandakan lagi keluaran bagi mencukupkan keperluan bagi petugas kesihatan kita yang semakin mendesak.
Untuk rekod, Projek Pelangi yang dijalankan warga RPWP bermula pada tahun 2015, sewaktu inisiatif menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan.
Untuk menyumbang boleh terus ke laman sesawang www.projekpelangi.com dan menyokong crowd funding Bantuan PPE (COVID-19) ataupun berhubung terus di talian 016-360 5047.
Sumber: Astro Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live