Covid-19
Degil Sangat! Filipina Dah Beri Amaran Tahan Individu Tak Pakai Mask
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte memberi amaran pihak berkuasa akan menahan sesiapa sahaja yang tidak memakai pelitup muka, lapor Awani.
Malah negara itu akan meningkatkan pengujian COVID-19 ketika negara itu mengalami peningkatan mendadak jumlah jangkitan dan kematian sejak perintah berkurung mula dilonggarkan sejak Jun lalu.
Filipina mensasarkan untuk melakukan sehingga 40,000 ujian sehari berbanding 23,000 pada masa ini, kata Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque.
"Kita tidak dapat menguji semua warganegara kerana ia mustahil dilakukan, bahkan negara maju seperti Amerika Syarikat juga tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian," kata Duque ketika muncul dalam satu wawancara di televisyen bersama Duterte, pada Selasa.
Di Asia Tenggara, Filipina berada di tempat kedua di belakang Indonesia, dengan kes jangkitan dan kematian terbaharu melonjak hampir empat kali ganda sejak perintah berkurung dilonggarkan pada Jun.
Perintah berkurung kembali dilaksanakan di beberapa kawasan yang mengalami peningkatan paling ketara.
Dari 30 negara dengan jumlah jangkitan tertinggi, Filipina berada di kedudukan ke-24 dari segi kadar ujian, menurut data dari Statista.
"Kita tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka yang degil dan tidak mahu memakai pelitup muka. Menjadi agen penyebar COVID-19 adalah satu jenayah serius.
"Apabila ditahan, barulah mereka yang degil ini akan dapat pengajaran," kata Duterte pula.
Negara itu setakat ini mencatat 70,764 kes jangkitan dan 1,837 kematian.
Sementara itu, kerajaan Malaysia juga berada dalam proses akhir sebelum mewartakan arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mengekang penularan COVID-19.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, pihak berkuasa sedang berbincang bagi menetapkan tarikh perwartaan itu yang dijangka tidak lama lagi.
"Sementara itu, kita galakkan orang ramai memakai mask (pelitup separuh muka di tempat awam)," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Katanya perincian mengenai perkara itu akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan.
Media melaporkan susulan peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 di peringkat global, beberapa negara mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat awam, termasuk Singapura yang pada April lepas mewajibkan semua orang di negara itu berpelitup separuh muka apabila keluar rumah.
Sumber: Astro Awani
Must-Watch Video